Thursday, November 10, 2011

Nurseri: 010

Semuanya telah dimudahkan Allah.  Khadijah Hani (KH) akan dijaga oleh Kak Ain, jiran depan rumah kami.  Alhamdulillah.  Ia amat melegakan kami, terutamanya saya.  Bukan sahaja babysitter yang sangat dekat, tapi dia juga seorang yang sangat sukakan anak-anak.  Saya pula belum pernah menghantar anak ke nursery.  Kakak dan abang KH juga dijaga orang.

Tapi, itulah yang dikatakan kita hanya merancang, hanya Allah yang menentukan.  Dan percayalah bahawa rancangan Allah itu adalah yang Maha Hebat lagi Maha Sempurna.  Pasti ada hikmah di sebaliknya.  Kak Ain tidak mampu pula menjaga KH selepas dua hari menjaganya kerana badan KH yang semangat (baca: 3 bulan = 7 kg).  Tambahan pula Kak Ain pernah menjalani operation membuang ovarian cysts nya, maka sakit dan ngilu operation itu kembali.

Saya amat memahami keadaan Kak Ain memandangkan ibu saudara saya juga begitu.

Kami mula mencari babysitter lain, namun ianya amat sukar sekali.  Akhirnya, kami tiada pilihan selain menghantar KH ke nursery.

Ia adalah perasaan yang amat sukar sekali.  Saya berperang hebat dengan hati sendiri.  Sehingga saya merasakan yang saya sanggup untuk berhenti kerja dan mengasuh KH (tetapi tidak mampu pula dari segi kewangan) ATAU sanggup juga berulang-alik Seremban-KL supaya KH diasuh oleh emak saya ATAU saya merasa suami harus berhenti kerja ATAU saya menghantar KH ke rumah babysitter kakak dan abangnya yang dulu (tetapi rumahnya jauh).  Sungguh tidak rasional semuanya.  Saya takut dan berdebar yang amat sangat. 

Bagaimana seseorang itu yang sedang menjaga berbelas kanak-kanak boleh menjaga KH?  Sungguh ia merisaukan saya.

Namun, saya harus redha akan ketentuan dan rancangan Allah untuk KH dan kami sekeluarga.  Saya tidak henti-henti berdoa:

“Ya Allah, jadikan anak saya KH mudah dijaga, mudah diurus dan tidak menyebabkan dia dimarahi.  Saya menyerahkan keselamatan anak saya KH di bawah jagaanMu daripada sebarang keburukan, kesukaran, kesedihan dan kedukaan, Tuhan yang Maha Melindungi lagi Maha Pengasih dan Penyayang.” 

No comments:

Post a Comment

What Say U?