Saturday, August 11, 2012

Bersih hati:71

Telah diberitakan oleh Rasulullah  S.A.W bahawa syaitan akan datang dari kanan, kiri, atas, bawah, depan dan belakang, dalam mencapai matlamatnya menggoda manusia.

Paling utama adalah menggoda hati manusia kerana Rasulullah juga pernah bersabda bahawa dalam diri seseorang itu ada seketul daging.  Jika daging itu baik, maka baik lah keseluruhan badan atau diri orang itu, jika buruk daging itu, maka buruklah pula diri orang itu.  Dan seketul daging itulah HATI.

Cukuplah terdetik di dalam hati itu perasaan hebat/ ujub/ sombong, maka dengan sifat itulah syaitan tercampak keluar daripada syurga.  Maka saya amat takut jika perasaan itu terjelma di hati.

Untuk permulaan ini, saya merasakan perlu sekali sekala saya membawa kereta lama suami ke tempat kerja, bahawa dengannya hati saya akan merendah ke tempat yang betul.

Saya tidak mampu untuk mencontohi seorang ulama besar di Tanah Arab yang merendahkan hati dan dirinya dengan membasuh tandas masjid. 

Cerita ini saya dengar di TV Al-Hijrah bahawa seorang ulama/ tok guru telah disanjung dan dipuja akan kehebatannya di medan ilmu dengan pujian yang melambung.  Sehingga suatu hari, selesai sahaja kuliah agama, beliau diserbu oleh anak murid dan orang awam yang mengkaguminya sambil nama beliau dijerit-jeritkan.  Keadaan seperti histeria, mungkin seperti histeria Justin Bieber...hehehe..(baca: saya bukan peminat Bieber tetapi saya ada cerita menarik tentang beliau).

Diceritakan juga keretanya diangkat oleh pengikutnya dan terdetik di dalam hati beliau akan kehebatan yang dimilikinya.  Segera beristighfar, lalu beliau meminta pemandunya menghantarnya ke sebuah masjid yang lain dan beliau meminta pemandunya menunggu sahaja dalam kereta.  Setelah sekian lama menunggu, pemandu tadi mencarinya dan melihat ulama besar itu sedang sibuk membersihkan tandas masjid.

Lalu beliau ditanya mengapa melakukan demikian, ulama itu menjawab,

"Saya sebentar tadi merasa hebat apabila orang ramai menjerit-jeritkan nama saya sehingga kereta diangkat.  Namun, rasa hebat itu tidak boleh ada dalam diri manusia kecuali Allah.  Untuk membersihkan hati dan diri yang merasa hebat ini, saya perlu membawanya ke tempat yang rendah dengan membasuh tandas-tandas di sini".

Hebat bukan?  Sesungguhnya saya belum mampu untuk berbuat seperti yang beliau lakukan.

Thursday, August 9, 2012

Nasihat saya: 70

Pandangan dan pendapat saya telah diminta, untuk pelajar UITM ini.  Saya merasa terharu.  Ia adalah nikmat akal dan pengalaman yang tidak mahu saya dustakan.  Alhamdulillah hirobbil aalamin.

Lebih terharu kerana orang luar (baca: bukan ahli keluarga) bertanya tentang pandangan saya, untuk hidup dan masa depan mereka.   

Siti,

Kalau tanya pandangan saya samada terus bekerja atau sambung pengajian ke Master, ia berbalik kepada apa yang siti inginkan.  Kalau Siti hendak menceburi bidang yang memang tinggi saingannya (sebagai contoh Pegawai Penyelidik/ Pensyarah di mana tahap pendidikan tertinggi diberi keutamaan),  eloklah siti sambung study jika ada kemampuan kewangan dan komitmen yang tinggi.  Begitu juga kalau bidang kerja berdasarkan kelulusan siti menawarkan tempat kerja yang terhad.

Contoh terdekat adalah adik ipar saya.  Dia berkelulusan ijazah dari UITM, mendapat offer sambung master untuk menjadi pensyarah di fakulti beliau yang baru dibuka tetapi beliau tidak mahu (saya tidak pasti sebab sebenar, namun mungkin kerana tidak mahu bersusah payah menyambung study walaupun bapa mertua mempunyai kemampuan kewangan yang stabil atau dia sendiri tidak minat menjadi pensyarah).  Jadi, sekarang setelah 4 tahun, dia bekerja sebagai kerani bertaraf kontrak dan masih belum mendapat pekerjaan bertaraf ijazahnya kerana bidang pengajian yang lepas menawarkan kerja yang terhad (Pegawai Arkib/ Pegawai Perpustakaan).

Saya bukan menghina pekerjaan kerani bertaraf kontrak itu, kerana itu juga telah tertulis untuknya.  Namun, pilihan yang dia buat menentukan kedudukan dia sekarang.  Hidup semakin mencabar dan keperluan kepada kewangan yang kukuh menjadikan dia sekarang berada dalam kesempitan.  Sehingga hendak berkahwin pun bertangguh beberapa kali, mengenangkan belanjawan yang goyah.  Sekarang, adik beradiknya tidak henti-henti menyuruhnya mencari kerja lain yang setaraf dengan kelulusan dan menjamin masa hadapan.  Kasihan pula melihatnya.

Seperti saya, sepatutnya bekerja sebagai Pegawai Sains di makmal2 hospital kerajaan (mengikut kelulusan pengajian).  Tetapi, melihat kepada hanya 5-6 Pegawai Sains yang ditempatkan di hospital kerajaan, saya merasakan peluang untuk bekerja di situ sangat tipis dan sukar.  Untuk pengetahuan Siti juga, saya hadir untuk temuduga Pegawai Sains sebanyak 5 kali dengan calon seramai 200 orang lebih dan kekosongan hanya untuk 3-5 org.

So, atas nasihat keluarga, saya sambung pengajian master, dan alhamdulillah saya mendapat kerja di sini dan kebanyakan officer di sini adalah Master holder.

Pada saya, kadangkala minat perlu diketepikan, for your survival.  But don't forget to develop your new interest along the way.

Saya sangat berminat untuk menjadi seorang pendidik, but then Allah tentukan tempat saya di sini.  Pasti ada didikan yang Allah hendak berikan kepada saya kerana Maha Suci Allah daripada menjadikan sesuatu dengan sia-sia.

Selamat membuat keputusan yang TERBAIK.

Tuesday, August 7, 2012

Mudah-mudahan bertaqwa-Part III:69

Ramadhan adalah suasana yang diciptakan untuk beribadat dan dekat kepadaNya.  Puasa adalah modul yang Allah sediakan untuk menjana hamba Allah yang bertaqwa. 

Bagi mencapai matlamat menjadi hamba Allah yang bertaqwa, ditentukan 4 key results area (KRA) iaitu:

1) Niat.  Ia bukan sekadar niat seperti yang diajar oleh ibu bapa kita semasa kecil iaitu "nawaitu saumaghoden....".  Ia adalah 'burning desire' untuk akhirnya mencapai cita-cita menjadi orang yang bertaqwa.    Sebagai contoh Dato' Azhar Mansor yang berjaya mengelilingi dunia bersendirian dengan kapal layarnya adalah  kerana 'burning desire' itu.

2) Solat Terawih - ia boleh dilakukan di rumah namun sunnah nabi Muhammad adalah melakukannya di surau/ masjid.  Ia adalah budaya orang bertaqwa yang menjadikan surau/ masjid sebagai paksi kehidupan.  Jika solat sunat terawih dilakukan di surau/ masjid, apatah lagi solat fardhu.  Dengan latihan solat sunat terawih ini dilakukan selama 30 hari di surau/ masjid, mudah-mudahan di luar Ramadhan nanti, surau/ masjid akan terus dikunjungi.

Bahawa Nabi Muhammad ada bersabda,
"Ada satu golongan yang akan berada di mimbar yang bercahaya semasa di akhirat nanti iaitu orang-orang yang hati-hati mereka sentiasa dekat dengan surau/ masjid".

3) Sahur.  Bahawa ia bukan sekadar bangun untuk makan tetapi adalah untuk bertahajjud kepada Allah.  Ia adalah modul khas yang Allah sediakan untuk hamba-hambaNya bangun pada malam hari untuk mengadu dan memohon ampun kepadaNya.

4) Puasa di siang hari.  Ia bukan sekadar mengingati dan menginsafi mereka yang tiada makanan dan minuman, tetapi ia adalah mendidik nafsu supaya patuh kepada suruhan Allah, bilamana ada makanan dan minuman di dalam rumah kita, namun kita tidak makan dan minum kerana taat kepada Allah.  Walaupun kita bersendirian dan tiada orang yang nampak, kita tetap tidak makan dan minum.  Ia adalah kawalan diri terhadap nafsu.  Begitu juga dengan kerja-kerja jahat yang lain seperti menipu, mencuri dan rasuah.  Jika nafsu dikawal untuk tidak berbuat jahat selama 30 hari ini dapat dilaksanakan, insyaAllah selepas daripada itu nafsu akan terdidik dan kita akan menjadi sebaik-baik hamba Allah.

Kuliah Selasa: Ustaz Long Kecik.

Friday, August 3, 2012

Mudah-mudahan bertaqwa-Part II:68

Bahawa puasa adalah proses mendidik nafsu, yang merupakan modul khas ciptaan Allah Maha Kuasa agar matlamat akhir adalah menjadi hambaNya yang berTaqwa.

Diriwayatkan semasa Allah mencipta manusia, ada 3 'benda' yang Allah bekalkan bersama kita iaitu Akal, Roh dan Nafsu.

Setiap 3 'benda' ini ditanya oleh Allah:

"Man Ana, Man Anta?" (Siapa aku, siapa kamu?)

"Anta Robb, Ana Abd'" (Kamu Tuhan, saya hamba)

Ianya adalah jawapan Roh dan Akal tetapi berlainan sekali jawapan Nafsu.

"Man Ana, Man Anta?" (Siapa aku, siapa kamu?)

"Anta anta, ana ana (sepertinya Lu, lu...gua, gua); dialog ini mendapat sahutan gelak tawa di kalangan kami.

Lalu Allah memerintahkan malaikat supaya merendam Nafsu di laut dalam yang sejuk selama 1000 tahun.

Setelah itu dikeluarkan Nafsu dan ditanya lagi oleh Allah;

"Man Ana, Man Anta?" (Siapa aku, siapa kamu?)

"Anta anta, ana ana."

Sekali lagi Allah memerintahkan malaikat membawa Nafsu dan disimpan di dalam syurga selama 1000 tahun.

Setelah 1000 tahun, Nafsu dikeluarkan dari syurga dan ditanya Allah soalan yang serupa seperti sebelum ini.

Maka, apa jawab Nafsu?

"Anta anta, ana ana."

Lalu Allah puasakan Nafsu selama 1000 tahun pula.  Selepas itu ditanyakan lagi kepada Nafsu,

"Man Ana, Man Anta?" 

Jawab Nafsu,

"Anta Robb, Ana Abd'".

Akhirnya jawapan Nafsu serupa seperti jawapan Roh dan Akal.

Setelah dipuasakan Nafsu itu, maka terdidik dan dipandu ia bahawa ia adalah hamba dan Allah adalah Tuhannya.

Begitulah Ramadhan yang didatangkan khas selama sebulan untuk manusia mendidik dan mengawal nafsu agar menjadi hamba Allah yang bertaqwa.

Kuliah Selasa: Ustaz Long Kecik

InsyaAllah bersambung lagi nanti.

Wednesday, August 1, 2012

Mudah-mudahan bertaqwa-Part I:67

Berpuasa di Bulan Ramadhan, sepertimana firman Allah swt:

"Wahai orang-orang Yang beriman!  Diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa".

[Al-Baqarah 2: 183]

Ianya disebut sebagai mudah-mudahan, kerana akan ada yang dapat menjadi seorang bertaqwa, dan ada juga yang hanya mendapat lapar dan dahaga.

Bahawa matlamat berpuasa adalah TAQWA.

Bahawa Input adalah Iman, Puasa adalah Proses dan Taqwa adalah Output.

Input iaitu Iman= Mempunyai keimanan/ kepercayaan bahawa puasa adalah diwajibkan oleh Allah dan akan ada ganjaran bagi sesiapa yang melaksanakannya serta hukuman bagi mereka yang tidak mengerjakannya.

Bahawa proses untuk menjadi orang bertaqwa itu adalah melalui puasa.

-Kuliah Selasa: Ustaz Long Kecik

Akan bersambung nanti, insyaAllah.