Friday, June 29, 2012

Abah Telah Tiada: 53

Abah seperti ayah saya.  Tiada istilah mertua. 
10 tahun hidup bersama suami adalah sama tempohnya saya kenal abah.  Beliau sangat easy-going.  Boleh bergelak ketawa atas perkara yang entah apa-apa.  Boleh bersembang perkara-perkara remeh dan yang sewaktu dengannya.  Bukan saya mengata abah suka bercakap bukan-bukan, tetapi ia menggambarkan keserasian dan keharmonian kami sebagai menantu-mertua.  You can talk about everything!
Abah pergi selepas seminggu pulang dari umrah.  Saya berharap ibadat dan taubatnya di sana diterima Allah, maka berlarilah abah menuju temannya yang Maha Agung dengan sebersih-bersih diri dari dosa.
Bos saya kata,
“Baguslah kan, baru balik umrah.  Belum sempat berbuat dosa dan lagha.  Kalau taubat nasuhanya diterima Allah, pasti dia ke syurga.”
Kata-kata yang sungguh mengesankan dan penuh kebaikan.  Ia mampu meredakan kesedihan.
Saya katakan kepada anak-anak,
“Tuk Wan tu sangat baik.  Solat tak pernah tinggal berjemaah di surau dan masjid.  Tuk Wan jadi imam dan kadangkala membaca khutbah Jumaat.  Tuk Wan selalu mengaji dan menjadi guru mengaji.  Harta-harta Tuk Wan digunakan kearah perkara baik macam membiayai rawatan radioterapi abah dan bawa anak-anak menunaikan umrah-yang sempat bersamanya menunaikan umrah adalah seramai 6 orang.”
Saya mengatakannya dalam kesedihan yang amat dalam. 
Semoga abah mendapat kerehatan yang sebenarnya daripada kesibukan dunia.  Rest in peace, abah!

Wednesday, June 27, 2012

Sedekah:52

“Bersedekahlah kamu, Allah tidak akan mengurangkan kamu bahkan menambah rezeki kamu 10 kali ganda lagi daripada pemberian derma/ sedekah kamu.”
Ada ustaz kata, boleh cuba amalkan untuk menambah iman.  Percaya bahawa kebajikan derma 1 dibalas 10 oleh Allah.  Setelah menderma dengan mengharap redha Allah dan percaya akan mendapat balasan 10 kali ganda, tunggu pulangannya.  Derma RM 10 akan dapat RM 100, mungkin begitulah kiraannya.
Saya tidak pernah mencubanya namun apa yang saya percaya betul, kita tidak akan jatuh miskin bila bersedekah.
Kalau dalam satu-satu bulan itu saya merasa sempit sekali dari segi kawangan, secepat mungkin saya akan menderma dan percaya Allah akan memberi pulangannya.
Benar sekali.  Nanti selang satu-dua hari, saya akan mendapat duit claim perubatan/ travel dll.  Kadang-kadang Allah menghantar orang untuk memberi lauk.  Maha Suci Allah!
Cuma, kebanyakan mereka yang rendah pendapatannya seringkali merungut tidak cukup duit, namun adakah mereka tahu bahawa sedekah boleh menambahkan harta/ rezeki?  Sukar untuk mengajak mereka bersedekah kerana rata-rata akan berkata,
“Aku nak makan untuk diri sendiri dan anak-anak pun susah, ini kan pulak nak bagi derma kat orang lain.”
Sesungguhnya mereka MENYANGKA rezeki adalah ketentuan mereka (berkira-kira begitu) sedangkan yang Maha Pemberi Rezeki adalah Allah.
Kasihan mereka ini, rezeki sempit disebabkan diri tidak mempunyai ILMU.
Berdoalah agar kita tidak termasuk di kalangan mereka yang SUKAR hidupnya kerana dibimbangi kerana itu hidup kita tergelincir daripada akidah Allah dan disibukkan dengan mencari rezeki sehingga tidak sempat untuk beribadat kepadaNya.

Monday, June 25, 2012

Beli: 51

Rupa-rupanya membeli pun ada tahap-tahapnya.  Alhamdulillah saya diberi pencerahan oleh Ustaz Pahrol Juoi.
Membeli Tahap 1 : Kerana KEPERLUAN. 
Dibenarkan oleh Allah.  Seperti membeli kereta dan pakaian.  Ia keperluan ASAS.

Membeli Tahap 2: Kerana KEMUDAHAN. 
Masih dibenarkan oleh Allah.  Seperti membeli dua kereta bagi memudahkan isteri menghantar anak ke sekolah.
Membeli Tahap 3: Kerana KEHENDAK
Ia tidak dibenarkan oleh Allah. Seperti telah ada kereta yang masih elok, tetapi kerana kehendak, maka membeli kereta yang lebih hebat seperti BMW pula. 
Seringkali kita terjatuh di tangga ketiga kerana nafsu ingin memiliki yang bagus itu membuak-buak!  Masya Allah.

Saturday, June 23, 2012

Do not judge book by its cover: 50

Pepatah Inggeris ini, pada saya adalah untuk menunjukkan bahawa kulit buku yang buruk/usang/ lusuh tidak boleh menyatakan nilai ilmunya yang rendah/ sikit kerana kadang-kadang buku yang begitu lama/ lusuh, nilai ilmunya adalah tinggi dan tidak terbanding!  Ianya kitab lama, ianya historic!
Tetapi, hari ini ramai orang salah faham dan salah guna pepatah ini.
·         Berperangai tidak baik: “Eh, don’t judge book by its cover, ok.”
·         Berpakaian tidak sopan: “Eh, don’t judge book by its cover, ok.”
Mereka ini ingin menyatakan bahawa apa yang salah pada mata luaran tetapi tidak salah di dalam hati.  Hati mereka suci bersih.  Walaupun tidak baik dan tidak sopan, tapi hati mereka baik!
Pada saya, sebenarnya mereka ini ingin menyembunyikan dan mencipta alasan untuk membenarkan sikap tidak baik dan tidak sopan mereka dengan menyatakan apa yang di dalam adalah lebih penting dan lebih baik.  Jangan pandang luaran, ok!
Sukar untuk menegur orang begini.
Niat kita di dalam menentukan kita di luar.  Niat berperangai jahat dan berpakaian tidak senonoh, terzahir di luar.
“Jangan percaya adanya pandangan kedua (second impression).  You will never have that!”
·         Owh, tidak senonohnya pakaian dia, semoga Allah melindungi keluarga dan keturunan kita daripada melakukan dosa yang sama.  Tidak malu ke dia pakai macam tu? Jelik betul.”
àTanggapan pertama
·         Owh, tidak senonohnya pakaian dia, tapi mana lah kita nak tau kan, mungkin dia ini banyak sedekah dan berpuasa sunat.”
àTanggapan kedua
·         Owh, tidak senonohnya pakaian dia, tapi tak eloklah mengata kan.  Orang kata don’t’ judge book by its cover.  Entah-entah dia sangat taat kepada ibu bapa dan tak tinggal untuk bangun malam bermunajat.”
àTanggapan ketiga
Selalunya, memang tiada tanggapan kedua/ ketiga dan seterusnya.
Saya memohon ampun dariMu, Ya Allah.  Mana tau, sedar tak sedar saya juga ada mencipta alasan untuk membenarkan kesalahan yang saya buat!

Thursday, June 21, 2012

Jadilah lecturer kami: 49

Ianya tugas ad-hoc.

Kerana supervisor student UITM ini (3 orang: pelajar degree) adalah mantan bos saya, maka saya tidak dapat menolak.  Memikirkan beliau seorang bos yang baik hati dan akan datang jika anak saya pula datang kepada orang untuk tujuan yang sama, dan ditolak (tidak diterima), pasti sedih hati kecil saya.

Ianya tugas menyelia pelajar tahun akhir (menyediakan final year thesis). 

Asalnya hanya mahu belajar buat analisa di makmal.  Saya telah mengajar!

Kemudian, ingin mengguna alat analisa kerana makmal mereka tiada alat.  Kemudian, bahan eksperimen (reagent) belum tiba setelah 3 bulan, lalu ingin meminjam bahan kimia di tempat saya.  Akhirnya mereka tiba di sini, membuat eksperimen!

Ia bukanlah win-win situation.  Saya bukan co-supervisor mereka.  Ia adalah amal jariah.  Saya kasihankan pelajar-pelajar ini.  Jadi, saya mengajar setakat apa yang saya mampu dan tahu, sehabis baik!

"Puan jadilah lecturer kami.  Mesti kami faham dengan lecture puan.  Mesti ramai student suka kat puan"

Alahai adik-adik.  Nantilah dulu.  Selagi PhD belum digenggam, puan ini belum mampu untuk mengajar sehabis baik!

Tuesday, June 19, 2012

Dosa: 48

Semalam, mendengar di IKIM tentang Virus Hati oleh Ustaz Pahrol Juoi dan beliau memang seorang yang sangat versatil dalam bidangnya.  Bagi saya, beliau adalah yang terbaik dari ladang!

Ia adalah kuliah yang pernah kita selalu dengar namun refresh semula bersama ustaz Pahrol memang mengesankan.

1) Apabila berbuat dosa dan kita merasa bersalah, maka itulah teguran Allah secara langsung kepada kita agar kita membetulkan diri-berubah dan memohon ampun/ bertaubat.

2) Apabila kita berbuat dosa dan kita merasa biasa, maka di situ Allah telah membiarkan kita dengan dosa kerana mungkin semasa Allah menegur dahulu, kita buat tak peduli.

3) Apabila kita berbuat dosa dan kita merasa manisnya iaitu merasa seronok/ nikmat bila melakukan kesalahan.

4) Apabila kita berbuat dosa dan kita mengajak orang lain turut serta dan menjadikan ia seperti perkara yang baik dan tidak salah.

Oleh itu, hanya yang pertama itu kita harapkan daripada Allah untuk diri kita, jangan sampai kita merasa biasa dengan berbuat dosa, lebih teruk kalau kita merasa seronok bergelumang dengan maksiat dan yang paling binasa sekali adalah mengajak/ promosi bahawa kesalahan adalah kebaikan dan boleh dilakukan.

Di Malaysia, banyak orang telah jatuh ke tangga ke-2, 3 dan 4. 

Merasa biasa meninggalkan solat.
Merasa seronok bergambar tidak senonoh.
Merasa elok mengajak orang ramai ke konsert/ ujibakat hiburan / memakai busana muslimah ketat.

Ya Allah, saya memohon ampun dan lindungilah keluarga dan keturunan saya daripada fitnah dunia ini.