Thursday, March 29, 2012

Ujian-sebagai tanda kasih Allah:030

Ia adalah artikel untuk buletin keagamaan di tempat kerja saya.  Seperti biasa, tajuk yang diamanahkan untuk saya adalah bersifat AM!

Apabila semua usaha dan penat lelah telah dicurahkan untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan, ketidakberhasilan seperti yang diharapkan pasti akan mengundang kecewa.  Semakin besar usaha dan pengorbanan, semakin dalam kecewa dan berat bebanan akal dan perasaanya.

Situasi yang sama dilalui oleh kita sebagai penyelidik.  Pada masa itu, kita akan berfikir dan berkira-kira bahawa formula dan teknik kita telah tepat dan bancuhan baja kita adalah yang paling bagus. Tapi mengapa masih tidak menjadi?

Ingatlah tatkala Allah menerangkan satu perumpaan tentang betapa segala sesuatu yang berlaku itu adalah di atas kuasa Allah,  melalui surah al-Kahfi ayat 32 hingga 44. 

Ia menceritakan perihal dua saudara, seorang kafir bernama Qathrus dan seorang mukmin bernama Yahuza.  Mereka mendapat harta pusaka berjumlah 4000 dinar seorang, di mana Yahuza telah menghabiskan wang tersebut untuk amalan kebajikan manakala Qathrus telah mengumpul kekayaan dengan membeli tanah untuk menanam tanaman seperti anggur, kurma dan pelbagai tanaman lain lagi.  Tali air turut merentangi kebunnya bagi mengairi tanamannya. 

Kekayaan Qathrus telah berlipat kali ganda sehinggakan dia menempelak Yahuza yang hidup dalam serba sederhana.  Qathrus juga dengan angkuhnya mengatakan bahawa tanamannya ini akan kekal abadi dan subur kerana usaha-usahanya membaja dan mengairi tanamannya.  Berkata pula Yahuza bahawa jika Allah mengkehendaki sesuatu itu tidak menjadi, tidak kira betapa bagus usaha dan formula yang digunapakai, pasti tidak akan berhasil.  Dia meminta Qathrus menyedari kealpaan sikapnya itu. 

Tidak lama kemudian,  musibah melanda Qathrus menyebabkan habis kesemua tanamannya musnah sama sekali.  Pada masa itu, dia hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya, seakan tidak percaya dengan apa yang berlaku.  Menyesal benar dia kerana angkuh kepada Allah selama ini. 

Menjadinya tanaman bukan hanya kerana benihnya, bajanya, pengairannya dan ketepatan tanamannya tetapi yang paling penting adalah SIAPA yang menumbuhkannya dan yang menyebabkan ianya MENJADI.

Allah juga telah berfirman di dalam surah al-Kahfi ayat 23 hingga 24 yang bermaksud:
”Janganlah engkau mengatakan tentang sesuatu urusan bahawa esok saya akan laksanakan melainkan dengan mengucapkan DENGAN IZIN ALLAH.  Ingatlah Tuhanmu, jika engkau lupa; dan katakanlah: Mudah-mudahan Tuhanku menunjukiku dengan petunjuk kepada yang lebih dekat kebenaran daripada ini”.

Pada masa segala formula telah tepat dan usaha juga mantap, namun keberhasilan belum tiba, ingat pada ibu tercinta, mungkinkah ada terselit rasa kecil hati di sanubarinya tentang tingkah kita yang semakin mengabaikannya kerana kesibukan kita mengejar ’deadline’ kerja.  Pada masa Allah menguji hambanya yang baik-baik, Dia ingin mengangkat darjatnya.  Pada masa Allah menguji hambanya yang kurang baik, Dia ingin memberi amaran agar hamba itu insaf dan bertaubat. 

No comments:

Post a Comment

What Say U?