Friday, March 23, 2012

Mengapa begini? Mengapa Tidak Begitu? :027

Ia adalah artikel saya untuk terbitan leaflet keagamaan.  Edarannya pula semasa Maulidurrasul.  Tajuk yang saya selalu kena tulis adalah tajuk am.  Saya menyukainya!  Sebabnya saya merasa bebas untuk menulis, walaupun skop/ tema telah ditentukan.  Berbeza sekali jika kita diberi tajuk seperti Khasiat Sup Ekor.  Skop ceritanya pasti tertumpu kepada khasiat!

Mengapa begini? mengapa Tidak Begitu?

“Apalah nasib saya?” 
“Apalah salah saya?” 
Keluhan demi keluhan. 
Segala rancangan telah diusaha dan segala formula kejayaan telah digerakkan, namun keputusan yang diidamkan masih juga belum menampakkan hasil.
·         Ada orang mengeluh tiada anak, TETAPI ada orang masih belum berpunya mahupun berkahwin.
·         Ada orang mengeluh anak-anak tidak pandai, TETAPI ada orang yang langsung tidak mempunyai anak.
·         Ada orang mengeluh tidak mampu berjalan-jalan ke luar negara, TETAPI ada orang tiada kaki pun untuk berjalan.
·         Ada orang mengeluh tidak mampu tinggal di rumah teres dua tingkat, TETAPI ada orang yang hanya mampu tinggal di rumah setinggan.
·         Ada orang mengeluh tidak mendapat pekerjaan setaraf dengan kelulusan, TETAPI ada orang yang langsung tidak mempunyai pekerjaan.
·         Ada orang mengeluh gaji tidak setimpal dengan pekerjaan, TETAPI ada orang langsung tiada pendapatan.

Merasa de-moralize dengan kegagalan? Janganlah begitu.

·         Menyedari bahawa urusan REZEKI adalah di tangan Allah, HATI pasti akan tenteram. 
·         Meyakini bahawa ia REZEKI YANG DITANGGUH oleh Allah, HATI  pasti akan tenang.
·         Menginsafi bahawa Allah Maha Mengetahui apa yang TERBAIK buat hambaNya, HATI pasti akan bersyukur.
Kata kuncinya adalah SYUKUR.
“Nasib saya tidak baik?” 
Sesungguhnya tiada istilah nasib baik dan nasib buruk.  Orang yang hatinya bergantung kepada Allah dengan selalu berdoa kepadaNya akan memandang kejayaan dan kegagalan sebagai ketentuan daripada Allah.  Bahawa semuanya adalah daripada Allah.
·         “Alhamdulillahirabbil-aalamin, bab yang saya baca masuk dalam peperiksaan.  InsyaAllah berjaya”.
·         “Nasib baik aku baca bab tu, gerenti cemerlang lah keputusan kali ni”.
Ia kedengaran sama tetapi ia perbezaan yang sangat signifikan.
Marilah kita renung bersama-sama ayat-ayat Allah, semoga hati kita zuhud dan qana’ah (merasa cukup) dengan apa yang kita ada.
“Kamu telah diLALAIkan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan  BERLUMBA-LUMBA untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (HARTA BENDA, ANAK-PINAK, PANGKAT dan PENGARUH), sehingga kamu masuk kubur.  Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!  Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!”
·         (At-Takaasur: 1-3)
“Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!”
·         (At-Takaasur: 8)
Akhir sekali, jika jawapan kepada kegagalan belum ditemui, carilah jawapan itu dengan ibu-bapamu.  Mungkin ada hati yang terluka, mungkin ada hati yang kecewa dan mungkin ada hati yang menderita kerana tingkah mu.  Mohon maaf dengan segera, nescaya kemaafan ibu bapa adalah keampunan Allah dan dengan sebab itu pintu rezeki akan dibuka buatmu seluas-luasnya.

No comments:

Post a Comment

What Say U?