Tuesday, March 27, 2012

Boleh ‘wish’ perayaan ‘non-muslim’? :029

Ia adalah artikel saya sempena keluaran Disember 2011, inspirasi daripada artikel Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.

Hal ini seringkali didebatkan dan dibincangkan samada boleh atau tidak boleh.  Ada kata boleh dengan tujuan berdakwah tetapi majoroti mengatakannya tidak boleh, haram dan ianya adalah bermakna kita bersetuju dengan agama selain Islam. 

Lalu, jadilah kita warga muslim yang kaku dan kejung, seperti tidak berperasaan kepada rakan taulan yang beragama bukan Islam sewaktu perayaan mereka berlangsung.  Sedangkan kita setiap hari dikelilingi mereka, samada di tempat kerja atau di kawasan kejiranan kita. 

Warga non-muslim ini pula memandang dan menilai kita yang muslim ini sebagai ‘un-friendly’, Islam tidak mengajar penganutnya berkasih-sayang dan bersahabat serta banyak lagi pandangan buruk yang lain.  Sudahnya, Islam juga yang tercemar, nampak tidak lengkap dan buruk.

Jadi, ,mengapa tidak kita mengambil peluang untuk berdakwah kepada mereka semasa sambutan perayaan mereka?  Bila lagi kita berpeluang untuk berbicara tentang Islam kalau tidak semasa itu?  Hendak harapkan kita datang kepada mereka dan berbincang tentang agama, memang sampai bila-bila belum ada keberanian.  Pelbagai alasan.  Belum ada ilmu yang tinggi untuk berbicara dan membimbing, belum ada perkataan yang sesuai untuk mengajak kepada Islam, belum ada masa yang sesuai dan segalanya belum ada!

Umat Islam harus sudah mampu keluar daripada perdebatan ini, daripada berulangkali berlegar-legar kepada skop fiqh, bergeraklah kepada melihat ia sebagai ruang berdakwah.    Sebagai contoh, fatwa mengharamkan kita mengucapkan “Merry Christmas” dan “Happy Christmas”, maka kita ucapkanlah “have a good holiday” atau “wish you a good Christmas holiday” atau “A greeting from your Muslim friend”. 

Ungkapkanlah juga sesuatu yang islamik, pada membicarakan tentang Isa dan Maryam (perihal perayaan Krismas) yang boleh diambil dari petikan-petikan al-Quran.  Seperti firman Allah di bawah ini yang bermaksud,

“(Ingatlah) ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang menggembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di Dunia dan di Akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah). Dan ia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa ia masih kecil dalam buaian, dan semasa ia dewasa, dan ia adalah daripada orang-orang yang soleh.” [Aal 'Imraan -46]

Bukankah indah ayat ini?

Beritahu rakan taulan Kristian kita bahawa Muslim juga memuliakan Jesus dan Mary melalui risalah Rasulullah s.a.w. yang telah memurnikan kepercayaan kita mengenainya.  Ajaklah mereka kepada Aqidah yang lebih memurnikan cinta seorang Mukmin kepada sekalian Rasul, termasuk Isa dan ibunya Maryam.

Fatwa dan ijtihad banyak mengambil kira persekitaran, kondisi dan konteks.  Akan menjadi susah apabila perbezaan dan perubahan persekitaran, kondisi dan konteks tidak diambil kira.  Paling susah apabila fatwa yang berasaskan kepada beberapa disiplin ilmu, diambil fatwa itu TANPA ILMU.

No comments:

Post a Comment

What Say U?