Saturday, October 22, 2011

Twenty four-Seven-004

24-7 selalunya mengingatkan kita kepada fast food restaurant dan kedai tujuh sebelas.  Beroperasi 24 jam sehari selama 7 hari, non- stop.

24-7 senang diingati.  Ia tarikh kelahiran Khadijah Hani, kelahiran puteri kami yang dinanti-nanti.

Kami tidak pernah merancang untuk menjarakkan kelahiran sejauh ini, sebaliknya kami merancang untuk mendapatkan anak dalam sela masa 3-4 tahun sekali.

Tapi, kita hanya merancang, Allah adalah yang Maha Arif menentukan segala-galanya.

Selepas kelahiran anak kedua pada 2005, kami merancang untuk mendapatkan anak pada 2008.  Semuanya bersandarkan kepada kehendak dan keinginan, ditambah dengan faktor usia yang masih muda dan kitaran reproduktif yang aktif semata-mata.  Kepada Allah, kami jarang meminta agar impian kami terlaksana.

Tahun 2008 datang dan kami telah bersedia.  Namun, Allah jua yang Maha Menentukan.  Abang tiba- tiba sakit dan kami dimestikan menangguh rancangan kami sehingga 3 tahun kemudian. 

Kejadian itu benar-benar mengubah pandangan hidup kami terhadap semuanya yang ada di depan mata.  Bahawasanya sebagai hamba Allah yang soleh, bergantung lah kepada Allah walau untuk sekecil-kecil perkara kerana tiada daya dan kekuatan melainkan dengan kekuasaan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

2011 Khadijah Hani dilahirkan.  Ia mungkin rezeki yang ditangguhkan Allah.  Namun, kelahirannya adalah pada masa kami telah keluar dari kesukaran hidup.  Kesukaran mengadapi hari-hari sakit abang, kesukaran dengan beban kewangan, kesukaran dengan kesempitan dan kekangan waktu dan kesukaran untuk tersenyum gembira.

"Sesungguhnya di sebalik kesukaran pasti ada kemudahan. Dan Aku tegaskan lagi bahawa di sebalik kesusahan, pasti ada kesenangan".

Terima kasih Allah di atas hidayah yang berterusan.  Terima kasih Allah di atas kurniaanMu yang paling hebat, iaitu kesembuhan yang benar-benar sembuh dan kelahiran Khadijah Hani.

No comments:

Post a Comment

What Say U?