Saturday, August 11, 2012

Bersih hati:71

Telah diberitakan oleh Rasulullah  S.A.W bahawa syaitan akan datang dari kanan, kiri, atas, bawah, depan dan belakang, dalam mencapai matlamatnya menggoda manusia.

Paling utama adalah menggoda hati manusia kerana Rasulullah juga pernah bersabda bahawa dalam diri seseorang itu ada seketul daging.  Jika daging itu baik, maka baik lah keseluruhan badan atau diri orang itu, jika buruk daging itu, maka buruklah pula diri orang itu.  Dan seketul daging itulah HATI.

Cukuplah terdetik di dalam hati itu perasaan hebat/ ujub/ sombong, maka dengan sifat itulah syaitan tercampak keluar daripada syurga.  Maka saya amat takut jika perasaan itu terjelma di hati.

Untuk permulaan ini, saya merasakan perlu sekali sekala saya membawa kereta lama suami ke tempat kerja, bahawa dengannya hati saya akan merendah ke tempat yang betul.

Saya tidak mampu untuk mencontohi seorang ulama besar di Tanah Arab yang merendahkan hati dan dirinya dengan membasuh tandas masjid. 

Cerita ini saya dengar di TV Al-Hijrah bahawa seorang ulama/ tok guru telah disanjung dan dipuja akan kehebatannya di medan ilmu dengan pujian yang melambung.  Sehingga suatu hari, selesai sahaja kuliah agama, beliau diserbu oleh anak murid dan orang awam yang mengkaguminya sambil nama beliau dijerit-jeritkan.  Keadaan seperti histeria, mungkin seperti histeria Justin Bieber...hehehe..(baca: saya bukan peminat Bieber tetapi saya ada cerita menarik tentang beliau).

Diceritakan juga keretanya diangkat oleh pengikutnya dan terdetik di dalam hati beliau akan kehebatan yang dimilikinya.  Segera beristighfar, lalu beliau meminta pemandunya menghantarnya ke sebuah masjid yang lain dan beliau meminta pemandunya menunggu sahaja dalam kereta.  Setelah sekian lama menunggu, pemandu tadi mencarinya dan melihat ulama besar itu sedang sibuk membersihkan tandas masjid.

Lalu beliau ditanya mengapa melakukan demikian, ulama itu menjawab,

"Saya sebentar tadi merasa hebat apabila orang ramai menjerit-jeritkan nama saya sehingga kereta diangkat.  Namun, rasa hebat itu tidak boleh ada dalam diri manusia kecuali Allah.  Untuk membersihkan hati dan diri yang merasa hebat ini, saya perlu membawanya ke tempat yang rendah dengan membasuh tandas-tandas di sini".

Hebat bukan?  Sesungguhnya saya belum mampu untuk berbuat seperti yang beliau lakukan.

No comments:

Post a Comment

What Say U?