Tuesday, August 7, 2012

Mudah-mudahan bertaqwa-Part III:69

Ramadhan adalah suasana yang diciptakan untuk beribadat dan dekat kepadaNya.  Puasa adalah modul yang Allah sediakan untuk menjana hamba Allah yang bertaqwa. 

Bagi mencapai matlamat menjadi hamba Allah yang bertaqwa, ditentukan 4 key results area (KRA) iaitu:

1) Niat.  Ia bukan sekadar niat seperti yang diajar oleh ibu bapa kita semasa kecil iaitu "nawaitu saumaghoden....".  Ia adalah 'burning desire' untuk akhirnya mencapai cita-cita menjadi orang yang bertaqwa.    Sebagai contoh Dato' Azhar Mansor yang berjaya mengelilingi dunia bersendirian dengan kapal layarnya adalah  kerana 'burning desire' itu.

2) Solat Terawih - ia boleh dilakukan di rumah namun sunnah nabi Muhammad adalah melakukannya di surau/ masjid.  Ia adalah budaya orang bertaqwa yang menjadikan surau/ masjid sebagai paksi kehidupan.  Jika solat sunat terawih dilakukan di surau/ masjid, apatah lagi solat fardhu.  Dengan latihan solat sunat terawih ini dilakukan selama 30 hari di surau/ masjid, mudah-mudahan di luar Ramadhan nanti, surau/ masjid akan terus dikunjungi.

Bahawa Nabi Muhammad ada bersabda,
"Ada satu golongan yang akan berada di mimbar yang bercahaya semasa di akhirat nanti iaitu orang-orang yang hati-hati mereka sentiasa dekat dengan surau/ masjid".

3) Sahur.  Bahawa ia bukan sekadar bangun untuk makan tetapi adalah untuk bertahajjud kepada Allah.  Ia adalah modul khas yang Allah sediakan untuk hamba-hambaNya bangun pada malam hari untuk mengadu dan memohon ampun kepadaNya.

4) Puasa di siang hari.  Ia bukan sekadar mengingati dan menginsafi mereka yang tiada makanan dan minuman, tetapi ia adalah mendidik nafsu supaya patuh kepada suruhan Allah, bilamana ada makanan dan minuman di dalam rumah kita, namun kita tidak makan dan minum kerana taat kepada Allah.  Walaupun kita bersendirian dan tiada orang yang nampak, kita tetap tidak makan dan minum.  Ia adalah kawalan diri terhadap nafsu.  Begitu juga dengan kerja-kerja jahat yang lain seperti menipu, mencuri dan rasuah.  Jika nafsu dikawal untuk tidak berbuat jahat selama 30 hari ini dapat dilaksanakan, insyaAllah selepas daripada itu nafsu akan terdidik dan kita akan menjadi sebaik-baik hamba Allah.

Kuliah Selasa: Ustaz Long Kecik.

No comments:

Post a Comment

What Say U?