Thursday, August 9, 2012

Nasihat saya: 70

Pandangan dan pendapat saya telah diminta, untuk pelajar UITM ini.  Saya merasa terharu.  Ia adalah nikmat akal dan pengalaman yang tidak mahu saya dustakan.  Alhamdulillah hirobbil aalamin.

Lebih terharu kerana orang luar (baca: bukan ahli keluarga) bertanya tentang pandangan saya, untuk hidup dan masa depan mereka.   

Siti,

Kalau tanya pandangan saya samada terus bekerja atau sambung pengajian ke Master, ia berbalik kepada apa yang siti inginkan.  Kalau Siti hendak menceburi bidang yang memang tinggi saingannya (sebagai contoh Pegawai Penyelidik/ Pensyarah di mana tahap pendidikan tertinggi diberi keutamaan),  eloklah siti sambung study jika ada kemampuan kewangan dan komitmen yang tinggi.  Begitu juga kalau bidang kerja berdasarkan kelulusan siti menawarkan tempat kerja yang terhad.

Contoh terdekat adalah adik ipar saya.  Dia berkelulusan ijazah dari UITM, mendapat offer sambung master untuk menjadi pensyarah di fakulti beliau yang baru dibuka tetapi beliau tidak mahu (saya tidak pasti sebab sebenar, namun mungkin kerana tidak mahu bersusah payah menyambung study walaupun bapa mertua mempunyai kemampuan kewangan yang stabil atau dia sendiri tidak minat menjadi pensyarah).  Jadi, sekarang setelah 4 tahun, dia bekerja sebagai kerani bertaraf kontrak dan masih belum mendapat pekerjaan bertaraf ijazahnya kerana bidang pengajian yang lepas menawarkan kerja yang terhad (Pegawai Arkib/ Pegawai Perpustakaan).

Saya bukan menghina pekerjaan kerani bertaraf kontrak itu, kerana itu juga telah tertulis untuknya.  Namun, pilihan yang dia buat menentukan kedudukan dia sekarang.  Hidup semakin mencabar dan keperluan kepada kewangan yang kukuh menjadikan dia sekarang berada dalam kesempitan.  Sehingga hendak berkahwin pun bertangguh beberapa kali, mengenangkan belanjawan yang goyah.  Sekarang, adik beradiknya tidak henti-henti menyuruhnya mencari kerja lain yang setaraf dengan kelulusan dan menjamin masa hadapan.  Kasihan pula melihatnya.

Seperti saya, sepatutnya bekerja sebagai Pegawai Sains di makmal2 hospital kerajaan (mengikut kelulusan pengajian).  Tetapi, melihat kepada hanya 5-6 Pegawai Sains yang ditempatkan di hospital kerajaan, saya merasakan peluang untuk bekerja di situ sangat tipis dan sukar.  Untuk pengetahuan Siti juga, saya hadir untuk temuduga Pegawai Sains sebanyak 5 kali dengan calon seramai 200 orang lebih dan kekosongan hanya untuk 3-5 org.

So, atas nasihat keluarga, saya sambung pengajian master, dan alhamdulillah saya mendapat kerja di sini dan kebanyakan officer di sini adalah Master holder.

Pada saya, kadangkala minat perlu diketepikan, for your survival.  But don't forget to develop your new interest along the way.

Saya sangat berminat untuk menjadi seorang pendidik, but then Allah tentukan tempat saya di sini.  Pasti ada didikan yang Allah hendak berikan kepada saya kerana Maha Suci Allah daripada menjadikan sesuatu dengan sia-sia.

Selamat membuat keputusan yang TERBAIK.

No comments:

Post a Comment

What Say U?