Tuesday, September 4, 2012

Qada’ puasa: 72

Topik hangat di kalangan wanita semasa  Syawal ni adalah qada’ puasa.  Persoalan sepanjang tahun adalah boleh atau tidak ganti puasa bersekali dengan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal?
Adapun terdapat khilaf ulama’ dalam hal ini dan yang tersohornya adalah 3.
Pertama: Ganti puasa (qada’) dahulu, kemudian puasa sunat 6 hari.  Ia berdasarkan dalil daripada hadith Rasulullah “ Barangsiapa yang berpuasa penuh semasa di bulan Ramadhan, dan kemudian berpuasa 6 hari semasa Syawal, akan mendapat pahala sepertimana dia berpuasa selama setahun”. 
Berpuasa penuh itu bermakna qada’ kan dahulu.
Kedua: Puasa sunat 6 hari di dalam Syawal dahulu kemudian qada’ puasa.  Ia berdasarkan hadith yang menyatakan bahawa Siti Aisyah isteri Rasulullah hanya sempat menggantikan puasa semasa  Syaaban tahun berikutnya, iaitu hampir-hampir kepada masuknya Ramadhon pada  tahun itu .
Sebagaimana yang kita ketahui, Rasulullah adalah ketua Negara dan isterinya Aisyah bolehlah diangkat sebagai First Lady.  Kesibukan beliau menyebabkan qada’ puasa tertangguh sehingga ke Syaaban tahun berikutnya. 

Oleh itu, dibolehkan berpuasa sunat dahulu demi mengejar pahala puasa sunat 6 dan meng qada' puasa di kemudian waktu. 

Namun, ustaz juga menambah bahawa kita tidaklah sesibuk itu sehingga tidak dapat untuk puasa sunat dan ganti di dalam bulan Syawal. 

Ketiga: Puasa qada’ pada bulan Syawal ini, mudah-mudahan ia mendapat pahala bersekali dengan puasa sunat yang 6 hari itu.  Namun, niat tetap dengan niat qada' puasa.
Kuliah Ustaz Farid: 030912
Saya mengambil khilaf yang ketiga dan telah mengamalkannya sejak saya mula mengqada’ puasa.  Ini kerana khilaf pertama itu sukar untuk dipenuhi.  Jika mengqada’ dahulu, alamatnya sehingga bilalah saya akan dapat berpuasa 6?
Saya juga tidak mengambil khilaf kedua kerana saya berpegang akan panduan bahawa perkara wajib mengatasi perkara sunat.  Dahulukan yang wajib, maka kemudian lakukan yang sunat.  Sebagai contoh, dalam bulan Ramadhon pahala bersedekah amatlah besar.  Persoalannya jika ada berhutang dengan tukang jahit baju raya, macam mana dengan kita ingin bersedekah?  Bolehkah bersedekah?

Ustaz Dr Zaharudin menegaskan bahawa yang wajib mengatasi/ diberati daripada yang sunat.  Bayar hutang baju raya, kemudian bersedekah kerana bayar hutang itu wajib manakala bersedekah adalah sunat.  Kecuali lah tailor telah redha untuk menerima bayaran selepas raya (2 atau 3 kali bayar kerana terlampau mahal upah baju tersebut).
Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment

What Say U?