Wednesday, September 19, 2012

Dakwah: 75

Pada pandangan saya, ianya satu tugas yang berat.  Berat apabila kita perlu memberitahu seseorang tentang kesilapannya ataupun dengan tujuan ingin menyampaikan ilmu Allah walaupun satu ayat.

Setakat ini, banyak ketikanya saya hanya berdakwah melalui tingkahlaku/ sikap/ perangai/ akhlak yang 'baik'.  Saya harap ianya benar-benar baik sehingga orang bukan Islam boleh tertarik kepada Islam.

Dan kebanyakan masanya pun, akhlak Rasulullah adalah penyebab ramainya orang kafir memeluk Islam kan.

Mengingatkan kata-kata ustaz bahawa membawa orang Islam 'kembali' kepada ajaran Islam adalah LEBIH BESAR pahalanya berbanding membawa orang kafir kepada Islam, menyebabkan kepala yang tidak gatal pun menjadi gatal.  Tergaru-garu dan termangu-mangu.

Saya terkilan dengan diri saya sendiri, lemah betul untuk menegur sahabat sekerja yang sangat baik tentang satu kenyataannya.  Demi Allah, dia sahabat yang baik.  Maka dengan itu, kelemahan saya menegurnya membuatkan saya terfikir-fikir, lama begini.

Ditegur barangkali membawa kesan yang baik, mungkin juga tidak baik sebab saya ini belum 'sempurna'.  Bimbang dinilai 'macam bagus' pun iya juga. Aih, bimbang justifikasi orang, bagaimana pula justifikasi Allah?

Selalunya hati kecil menenangkan dengan berkata,
"Benci lah dengan hati, bahawa itu juga iman.  Namun ia adalah selemah-lemah iman".

Sampai bilalah iman ini hendak kuat jika sering disogok dengan kata-kata hati kecil begitu?  Bila pula hati besar ingin berkata-kata?

Peristiwa ini berlaku semasa bulan Ramadhan yang lepas.  Dalam sibuk-sibuk orang membuat persiapan dengan menempah kuih, baju dan lain-lain, beliau menjual tudung rakannya rekaan Pearl Haiya.  Ia tudung yang cantik dan moden namun ia tidak memenuhi spesifikasi saya (menutup dada) di samping harganya yang sangat mahal (pada perkiraan saya ye).  Lalu dalam promosinya kepada saya dan rakan-rakan lain, terutama sekali kepada saya, beliau dengan bersahaja menyatakan,

"Tudung ni sangat sesuai dengan awak, cantik dan mengikut syarak!"

Saya terkesima.

Kenyataan sahabat saya itu kedengaran kelakar dan menghiburkan semua orang yang mendengarnya, namun ia adalah tidak tepat.

Tudung itu hanya menutup pangkal dada atau menutup pandangan depan dada namun bila dari pandangan sisi, ia tetap menampakkan perhiasan wanita yang Allah beratkan untuk dijaga.

"Bahawa labuhkan lah tudungmu agar menutup perhiasan pada dirimu dan sesungguhnya ia menandakan kamu daripada golongan yang baik-baik".

Masya Allah.  Ia menjaga maruah dan melambangkan seseorang itu daripada golongan yang baik-baik. 

Ingin saya katakan padanya, namun suara itu tersekat di kerongkong dan berlegar-legar dalam hati dan kepala sahaja.

"Kak, kalaulah akak tau bahawa tanda aras (benchmark) menutup aurat itu adalah dengannya akak boleh terus menunaikan solat, tidak perlu lagi mencari-cari telekung solat ketika ingin bersolat?".

Beliau pula setelah diperkenalkan dengan tudung jenama ini telah mula memakai bonggol (sanggul tiruan) kerana tudung jenama ini yangbertingkat-tingkat hanya akan kelihatan cantik bila digoyang-goyangkan kepala, terbuai-buai 'skirting' nya. 

Masya Allah.  Ia perkara kedua yang tidak mampu juga untuk ditegur.

"Kurniakanlah kekuatan buat semua hambaMu Ya Allah untuk melaksanakan ketaatan kepadaMu.  Makbulkan hajatku dan makbulkan lah hajat mereka".




No comments:

Post a Comment

What Say U?