Tuesday, November 27, 2012

Ajak Paksa Rela:83

Saya mengajak anak-anak saya mencintai Al-Quran. 

Saya mengajak mereka untuk menghafalnya.

Saya mengajak mereka untuk memahaminya.

Ia semata-mata kerana Allah dan saya mahukan anak-anak saya menjadi al-haafizh dan al-haafizhah.  Ia semata-mata untuk mendapatkan ganjaran/ fadhilat orang yang menghafaz al-Quran untuk membawa 10 orang ahli keluarganya yang telah disahkan hukuman ke neraka untuk masuk ke syurga, dengan rahmat Allah.

Sasaran saya bahawa dengan ketiga-tiga anak menjadi al-haafizh dan al-hafiizhah, In Sya Allah sekurang-kurangnya 30 orang ahli keluarga kami dapat sama-sama berkumpul di syurga Allah sebagaimana Allah mengumpulkan kami semua sebagai sebuah keluarga di dunia.

Masya Allah, ianya tugas yang berat dan berliku, namun dengan rahmat Allah, saya yakin ia boleh berlaku.

Kem Hafal Quran selama sebulan sempena cuti sekolah ini telah saya gunakan sebaik mungkin untuk 2 anak yang telah boleh/ pandai membaca al-quran.

Saya ajak, kadang-kadang datang mood malas mereka, terpaksa saya paksa dan lama-lama mereka akan rela dan seronok dengan sendirinya.  Saya percaya dengan keajaiban al-Quran yang sangat mujarab dalam melembutkan hati dan sentiasa menenangkan.

Saya turut mengajak rakan-rakan untuk anak-anak mereka turut serta hadir di dalam program yang baik ini.  Rata-rata jawapan mereka mengecewakan saya.

"Tengoklah macam mana.  Nak kena tanya anak-anak dulu, nak ke tak nak.  Kalau tak nak, tak boleh buat apa juga kan".

"Lama sangat sebulan tu, kalau 2 minggu ok jugak, kata anak akak tu".

"Diorang tak nak, bila bagitau saja, tunjuk muka tak minat.  Nak duduk rumah saja".

Masya Allah, fikir saya, di sini siapa ibu siapa anak?  Siapa patut didik siapa? 

Kalau kita sebagai ibu yang masih menjaga anak di bawah tanggungjawab kita (belum berkahwin), maka wajarkah berkata demikian dan memberi kebebasan kepada anak untuk menentukan apa yang mereka mahu buat walaupun hanya duduk melepak sepanjang 1 bulan setengah cuti sekolah dengan menonton TV dan bermain PS2?

Pada saya, jika dia pasti jawapan yang dia berikan nanti diterima Allah di akhirat sana apabila ditanya tentang tanggungjawab yang dia tidak mampu/ boleh galas dan sempurnakan, tidak mengapalah. 

Teruslah bertanya anak apa yang mereka MAHU buat dan ikutkan sahaja berbanding dia menentukan apa yang mereka PERLU buat.

Nauzubillahiminzalik.

No comments:

Post a Comment

What Say U?