Friday, January 6, 2012

Azeem Darjah Satu: 022

29 Disember adalah hari Orientasi Pelajar Darjah 1. 

Kami teruja.  Lebih teruja daripada Azeem.  Anak lelaki seorang.  Semua perkara harus menjadi baru kerana dia tidak dapat mewarisi baju kakaknya, Athirah.  Begitu juga dengan beg sekolah, ia harus mendapatkan beg Ben-Ten.  Tidak boleh diturunkan kerana beg Athirah berwarna pink.

Namun, kami ibu bapa tidak dapat hadir bersama-sama.  Ada temujanji lain di klinik untuk imunisasi Khadijah yang ke- 5 bulan.  Pening juga bila mana ingin menentukan siapa ke sekolah dan siapa ke klinik walaupun telah jelas di situ, ibu lebih diperlukan di klinik.  Bukan sahaja susu cap gantungnya diperlukan oleh Khadijah, namun apa yang paling penting, Khadijah adalah baby, lebih sukar diuruskan berbanding kanak-kanak berusia 7 tahun.

Akhirnya keputusan nekad dicapai.  Abang membawa Azeem untuk orientasi, manakala saya bersama-sama Athirah ke klinik membawa Khadijah.  Ia keputusan yang agak sukar kerana selama ini semua urusan sekolah anak-anak, saya uruskan.  Daripada beli buku, bayar yuran, bertemu guru untuk melihat kemajuan persekolahan anak-anak sehinggalah menghantar dan mengambil anak pulang dari sekolah.

Azeem sangat okey.  Ujian bertulis yang diberikan cikgu dikatakan senang saje.  Dia juga berjaya mendapat kawan, Hadiff Affan namanya.  Lega saya bila dia gembira.  Pada masa yang sama ada anak-anak yang cembeng dan sebak bila diminta masuk ke kelas untuk ujian bertulis.  Azeem seronok sahaja, bercerita itu dan ini.

Azeem is a special boy to us.  He is just a six years old on 2012 because he was born on December.  Jadi, segalanya kurang matang.  Dia kurang minat belajar tetapi lebih minat bermain.  Ditambah faktor lelaki lebih lambat matang berbanding perempuan, Azeem menjadi dua kali keanak-anakkan.  Kadang-kadang dia masih menulis terbalik, menulis dari kanan ke kiri.  Kadang-kadang huruf ‘b’dan ‘d’ tertukar.  Risau juga kalau dia adalah anak dyslexia.  Namun, ia tidak begitu.  Latihan demi latihan yang diberi, menunjukkan kesimpulan bahawa dia budak normal, cuma kurang fokus.

Selamat bersekolah anakku, Azeem!


No comments:

Post a Comment

What Say U?