Showing posts with label Kawan2. Show all posts
Showing posts with label Kawan2. Show all posts

Sunday, January 27, 2013

Hantu Inggeris III:92


Kami berbual-bual tentang tugas yang bakal saya laksanakan.  Saya banyak mengiakan sahaja kata-kata wanita itu kerana  saya cemas melihat anak perempuannya yang dari tadi menulis dan melukis tanpa memandang kepada saya. Dia begitu asyik, tidak mempedulikan apa-apa yang berlaku di sekitarnya.

Saya semakin cemas apabila saya merasakan bahawa ‘supervisor’ yang bersembang dengan saya ini adalah isteri Sir Gerald dan budak perempuan ini adalah anaknya yang telah membunuh ayahnya sendiri.

“Okay, you may start work now.  My butler will show you around.”  Kata wanita itu sambil bercakap pula dengan butler yang dari tadi setia berdiri di belakang kerusi budak perempuan itu.

“Thank you.” Kata saya sambil bangun dari kerusi dan menghulurkan tangan bersalaman dengan ‘supervisor’ dan anaknya. 

Budak perempuan itu berhenti melukis dan memandang kepada saya.  Dia tidak menyambut tangan saya sebaliknya memberi pandangan seperti, “You know who I am” dan tersenyum sinis.

Saya terus berpaling ketakutan dan berjalan laju untuk segera keluar dari bilik berhantu itu.  Sebaik sahaja saya keluar dari bilik itu, saya berlari sekuat hati.  Perjalanan saya ke kaunter rakan saya itu seakan sangat jauh.

“Kenapa ni kak?”. Tanya rakan saya bila melihat saya sampai dengan keadaan nafas yang tidak cukup.

“Supervisor yang akak jumpa tadi adalah isteri Sir Gerald”.  Kata saya sambil tercungap-cungap keletihan.

“Ye ke?.” Tanya kawan itu dengan muka yang sangat terkejut.

“Betul Wa, anak perempuan dia pun ada kat sebelah dia.  Sebelum akak nak keluar tadi, budak perempuan tu pandang akak dan macam dia kata awak dah tahu siapa saya”.  Cerita saya lagi dengan nafas yang masih tersekat-sekat.

“Laa kak, kenapa sampai dia jumpa akak dan bercakap-cakap pulak tu?  Kita semua kat sini tak pernah bercakap dengan hantu-hantu tu.  Hanya terserempak.  Risau pulak saya."

“Tak tahulah Wa. Akak rasa tak sedap hati ni. Takutlah”. Kata saya lagi menjawab pertanyaannya.

Bersambung lagi nanti...

Thursday, January 24, 2013

Hantu Inggeris II: 91


“Semua orang dah tahu kak.  Mereka yang bekerja kat sini tahu sebab mereka mesti terserempak dengan nenek tua tu.  Akak boleh google cerita mereka kat internet.  Akak cari pembunuhan kejam pemilik hotel dan pewaris kekayaan Sir Gerald Hendrick”.  Cerita kawan saya lagi.

Saya mengangguk saja.  Saya merasa tidak sedap hati.  Berdebar dan seram sejuk.

“Akak rileks dulu, tak yah start keje lagi.  Cool down.” Kawan saya menenangkan saya.

“Macam mana Sir tu mati?” Tanya saya pula bila debaran telah reda.

“Dia dibunuh anak perempuannya.  Memang sangat kejam.  Anak perempuannya menikam ayahnya atas arahan ibunya.  Ibunya pula menerima arahan dari nenek budak perempuan tu.  Mereka semua hendak membolot kekayaan Sir Gerald.”

Saya mendiamkan diri.  Sampai hati anak menikam ayah sendiri. Tidak baikkah Sir Gerald itu sampai sanggup anak membunuhnya?

“Sir tu baik sangat kak.  Semua pekerja hotel sayangkan dia.  Sangat menjaga keselesaan tetamu, tu sebab perniagaan hotelnya sangat berjaya”.  Sambung rakan saya, seperti tahu-tahu saja kata hati saya.

Saya merasa simpati di atas kematian Sir.  Saya menjadi murung.  Kerana harta, mereka anak beranak sanggup berbunuh-bunuhan.

Esoknya saya masuk bekerja seperti biasa.  Hati saya masih berdebar-debar.  Risau terserempak dengan wanita tua itu.

“Eloklah akak dah sampai, bos nak jumpa.  Nak bagi brief tugas lah tu”. Kata rakan saya sebaik sahaja melihat saya tiba.

“Ok. Akak pergi jap ye.”

Saya berlalu menuju pejabat supervisor dengan hati yang ceria kerana saya akan diberi tugas.

“Come in.”  Kedengaran suara dari dalam pejabat, menyuruh saya masuk setelah saya mengetuk pintu biliknya.

Saya membuka pintu bilik dan tergamam melihat ‘supervisor’ saya.  Dia seorang wanita Inggeris, lengkap dengan pakaian bergaya Inggeris lama.  Saya berfikir sejenak, betul ke ini bilik supervisor saya?  Saya tercegat melihat dekorasi bilik.  Ianya bergaya Inggeris lama dengan kerusi berukir tebal, bilik dengan kertas dinding yang kelam warnanya seakan usang dan biliknya juga suram.  Seorang kanak-kanak perempuan duduk di sebelahnya tetapi leka menulis dan melukis.

“Have a seat, please.”.  Jemput wanita Inggeris itu.

“Thank you.” Saya menarik kerusi dan duduk di depannya dengan perasaan yang sangat mencemaskan.

Bersambung lagi nanti...

Monday, January 21, 2013

Hantu Inggeris I:90


Petang itu saya mendapat surat tawaran bekerja di JUSCO sebagai Promoter.  Ianya kerja separuh masa sahaja dan waktu bekerja bermula jam 6 petang sampai 10 malam.  Jadi, sebaik sahaja habis waktu kerja hakiki, saya terus menukar pakaian kepada uniform JUSCO.  Ianya menyeronokkan kerana saya bekerja bersama-sama dengan kawan sekerja hakiki juga.  Dia telah bekerja lebih lama di situ dan dia juga yang membantu saya mendapatkan kerja di situ.

Kerja separuh masa ini tidaklah bergaji lumayan, namun bolehlah back-up perbelanjaan rumahtangga.
Hari pertama bekerja belum lagi menyibukkan saya kerana saya belum diberi penerangan berkenaan tugas yang harus dilakukan.  Jadi, saya mengambil peluang untuk melawat sekitar pasaraya bagi membiasakan saya dengan tempat kerja baru.

Saya berjalan-jalan sambil mengkagumi kecantikan senibina Jusco dan ianya juga bersambung dengan hotel yang mempunyai konsep senibina Inggeris.  Ia benar-benar seperti saya berjalan di dalam bangunan bersejarah.

Sedang saya berjalan-jalan itu, saya terlihat seorang wanita Inggeris tua dengan pakaian Inggeris lama seakan-akan pakaian pelakon cerita bersiri Downtown Abbey menuruni anak tangga besar ke lobi.  Saya sedikit terkejut melihat wanita itu.  Wajahnya cantik persis wanita kaya Inggeris, namun pakaiannya?  Saya berfikir-fikir, ada lagi kah orang berpakaian begini? Wanita ini dari kurun mana?  

Saya tersenyum sedikit sambil berjalan laju untuk beredar segera sebelum wanita tua itu habis menururuni tangga.  Saya tidak mahu berjalan seiring dengannya.

“Akak kenapa ni termengah-mengah je?”.  Tanya kawan sekerja saya bila melihat saya sampai ke kaunternya dengan nafas tercungap-cungap.

Setelah saya boleh bernafas dengan biasa, saya galak bercerita kepadanya apa yang telah saya lihat.

“Owh, akak pun dah jumpa dia ye?.  Kami semua kat sini pun dah jumpa English Lady tu.”.  Cerita kawan saya pula.

“Pelik kan?  Ada lagi orang berpakaian macam tu.” Kata saya lagi.

“Yang akak nampak tu hantu hotel Jusco.  Dia dah lama mati, beberapa kurun dah”. Tambah kawan saya lagi.

“Biar betul ni Wa. Takkan lah. “ Bulu roma saya meremang mendengar kata-katanya.

“Betul kak.  Dia tiga orang, yang akak jumpa tu nenek dia,  seorang anak perempuannya dan seorang lagi cucu perempuannya.  Mereka pemilik asal hotel tu. Mereka mati di dalam hotel tu lah.”

“Ko biar betul Wa? Mana Wa tau semua ni?” Tanya saya yang masih tidak boleh percaya.

Bersambung nanti...

Sunday, January 13, 2013

Azam 2013:89

Saya telah diminta sahabat baik untuk menyenaraikan azam saya tahun ini.  Before this, she has listed her azams and hers are very inspirational!

Saya nak copy paste sahajalah e-mel saya kepadanya menjawab sedikit sebanyak permintaannya. (Kes malas nak menulis ni, hehehe).

"Saya memang sedang mengumpul semangat untuk menyambung pengajian. Dua rakan sejawat telah pulang bekerja semula daripada cuti belajar menyambung PhD. Kalau ikutkan comfort zone, tak perlu pergi pun tak ape sbb once you naik pangkat, in shaa Allah gaji u akan naik juga, so buat apa lah susah2 kan untuk pening kepala belajar. Dulu masa saya sambung master pun begitu, saya mengumpul semangat dan kata2 sokongan keluarga dan sahabat. Dengan izin Allah melalui sokongan mereka, saya sambung juga! Alhamdulillah...ianya memang bermanfaat.
 
Saya sukar untuk menulis azam kerana selalunya bila ditulis, ia tidak akan menjadi sangat. Saya sematkan dalam hati, tekad dalam diri, in shaa Allah lebih berdisiplin dan terlaksana. Sikit namun mesti istiqomah.
 
Cumanya saya akan menjadi lebih baik/ positif/ jauh daripada mazmumah dengan berpegang kepada "Sebenarnya apabila kita dikelilingi oleh orang yang selalu menyakitkan hati kita, ingatlah Allah sedang mengajar kita untuk SABAR dan banyak mengadu kepadaNya". 
 
And truly, I am surrounded with that kind of people, though it is isolated case but very influenced to my emotional state, hahaha..(sensitip sgt sejak dah aging ni!)

Saya mesti jadi BAIK untuk mendidik anak-anak menjadi BAIK. KPI anak baik adalah menjadi al-haafiizh dan al-hafeezah. Saya takut benar dengan neraka Allah, dan sangat berharap kpd syurgaNya namun saya sedar bahawa saya ini seperti tidak layak kerana banyak dosa. 
 
Oleh itu, in shaa Allah dengan rahmat Allah, syafaat al-hafiizh dan al-hafiizhah boleh membawa ahli keluarga yang telah pasti ke neraka ke dalam syurga. Anak saya 3, in shaa Allah 30 org ahli keluarga boleh dibawa bersama-sama agar kami semua dapat dikumpulkan sebagai sebuah keluarga di syurga sebagaimana Allah mengumpulkan kami sebagai sebuah keluarga di dunia.

Jadi, jalan/ aktiviti ke arah 2 perkara di atas is a very long list!

If you all still want the list, nanti senang2 I taip..

Tuesday, November 27, 2012

Ajak Paksa Rela:83

Saya mengajak anak-anak saya mencintai Al-Quran. 

Saya mengajak mereka untuk menghafalnya.

Saya mengajak mereka untuk memahaminya.

Ia semata-mata kerana Allah dan saya mahukan anak-anak saya menjadi al-haafizh dan al-haafizhah.  Ia semata-mata untuk mendapatkan ganjaran/ fadhilat orang yang menghafaz al-Quran untuk membawa 10 orang ahli keluarganya yang telah disahkan hukuman ke neraka untuk masuk ke syurga, dengan rahmat Allah.

Sasaran saya bahawa dengan ketiga-tiga anak menjadi al-haafizh dan al-hafiizhah, In Sya Allah sekurang-kurangnya 30 orang ahli keluarga kami dapat sama-sama berkumpul di syurga Allah sebagaimana Allah mengumpulkan kami semua sebagai sebuah keluarga di dunia.

Masya Allah, ianya tugas yang berat dan berliku, namun dengan rahmat Allah, saya yakin ia boleh berlaku.

Kem Hafal Quran selama sebulan sempena cuti sekolah ini telah saya gunakan sebaik mungkin untuk 2 anak yang telah boleh/ pandai membaca al-quran.

Saya ajak, kadang-kadang datang mood malas mereka, terpaksa saya paksa dan lama-lama mereka akan rela dan seronok dengan sendirinya.  Saya percaya dengan keajaiban al-Quran yang sangat mujarab dalam melembutkan hati dan sentiasa menenangkan.

Saya turut mengajak rakan-rakan untuk anak-anak mereka turut serta hadir di dalam program yang baik ini.  Rata-rata jawapan mereka mengecewakan saya.

"Tengoklah macam mana.  Nak kena tanya anak-anak dulu, nak ke tak nak.  Kalau tak nak, tak boleh buat apa juga kan".

"Lama sangat sebulan tu, kalau 2 minggu ok jugak, kata anak akak tu".

"Diorang tak nak, bila bagitau saja, tunjuk muka tak minat.  Nak duduk rumah saja".

Masya Allah, fikir saya, di sini siapa ibu siapa anak?  Siapa patut didik siapa? 

Kalau kita sebagai ibu yang masih menjaga anak di bawah tanggungjawab kita (belum berkahwin), maka wajarkah berkata demikian dan memberi kebebasan kepada anak untuk menentukan apa yang mereka mahu buat walaupun hanya duduk melepak sepanjang 1 bulan setengah cuti sekolah dengan menonton TV dan bermain PS2?

Pada saya, jika dia pasti jawapan yang dia berikan nanti diterima Allah di akhirat sana apabila ditanya tentang tanggungjawab yang dia tidak mampu/ boleh galas dan sempurnakan, tidak mengapalah. 

Teruslah bertanya anak apa yang mereka MAHU buat dan ikutkan sahaja berbanding dia menentukan apa yang mereka PERLU buat.

Nauzubillahiminzalik.

Wednesday, November 21, 2012

Halal:80


Sahabat sepejabat ingin menunaikan umrah pada Januari 2013 nanti.  Alhamdulillah, berkat menabung beliau dan suami bakal menjejakkan kaki untuk beribadat di Mekah dan Madinah.

Urusan untuk ke sana memerlukan passport.

“Tolong saya print gambar saya dan suami ni (sambil beliau mengunjukkan thumbdrive berisi gambar IC beliau dan suami kepada staf yang mengurus kerja-kerja percetakan di pejabat).

Staf tadi mengambil thumbdrive itu tanpa banyak tanya.

“Printlah penuh kertas A4, penuhkan kertas tu, nanti membazir.  Print je, lain kali tak perlu print lagi.  Nak pakai 4 sahaja”.

Saya hanya mendengar dan saya pun memang sedang berurusan dengan staf tersebut.

Mulutnya ringan bercerita bahawa beliau perlukan gambar tersebut untuk membuat passport bagi tujuan menunaikan umrah.

Saya juga bersembang sedikit sebanyak, meraikan perasaan terujanya. 

Dalam hati berkata, “hendak menunaikan umrah, amalan yang mulia dan sangat baik tetapi menggunakan pejabat punya printer untuk print gambar?”. 

Saya sedikit kesal, namun saya diamkan sahaja.

Petang itu, sahabat saya ini menelefon saya.

“Rupa-rupanya gambar passport mesti 70% muka ye dan berlatar belakang putih.  Gambar saya tadi tak valid lah sebab latar belakang biru (untuk IC).”

“Ye ke? Saya pun dah lupa”.  Balas saya.

“Takpe lah, saya akan ke kedai gambar untuk ambil gambar baru”.

Saya mengucapkan syukur.  Bahawa Allah amat sayangkan hambaNya telah memastikan segala harta bagi tujuan umrah yang bakal beliau laksanakan adalah halal dan baik.

Alhamdulillah hirobbil aalamin.

Thursday, November 1, 2012

Macam-macam ada: 79

Lama saya tidak apdet apa-apa cerita, sehingga blog saya dilabelkan sebagai Less Active.  Sedih juga. 

Tidak multitasking nye saya!
Tidak manage time dengan baiknye saya!
Tidak rajinnya saya!

Ye, salahkan diri sendiri, do not blame other people.

Banyak nak cerita sebenarnya, namun seringkali juga banyak keje ad-hoc and urgent yang menyebabkan cerita-cerita tertangguh.  Kawan saya Eiwa kata,

"wah, iron lady kau!" 
"Takde maknenye Iron lady, kuli cenggini lah." Balas saya.

Namun saya bersyukur kerana diberi rezeki oleh Allah dan keizinan suami kepada saya untuk keluar mencari rezeki kami sekeluarga.

Masih ramai di luar sana yang masih belum bekerja.

Kisah 1.

Curang I dan II tidak mahu saya teruskan walaupun rentetannya masih ada.  Ia juga menyebabkan saya dalam sedikit stress sebulan-dua ini kerana yang terlibat adalah dia. 

Sukar sekali untuk saya menjadi 'baik' atau 'neutral' atau berlagak 'profesional' atau 'macam tiada apa-apa berlaku' kalau kesnye sebegini berat.  Saya kehilangan kata-kata dan 'mood'.

Balik dari mesyuarat di Langkawi, saya ingatkan kes itu selesai dan 'sealed', tapi nampaknya telah terbuka semula dan semakin teruk.

Ia memang ujian maha berat buat dia, namun kerosakan yang berlaku adalah di atas tangan manusia-manusia itu sendiri.  Sometimes I wish to say, "serve you right!"

Kisah 2.

Bila bermesyuarat selama 3 hari bagi keseluruhan staf seMalaysia (fobia nak tulis satu Malaysia, hehehe), masa tu lah dapat gather-gather, sembang-sembang and ofkos gosipping, masya Allah.  Masa bekerja, memang tak de masa citer hal lain.  Kiranya kalau tak MC, bekerja tanpa henti.

Macam-macam cerita keluar.  Banyaknya yang 'nauzubillahiminzaalik".

Bahawa telah begitu ramai manusia Islam yang meninggalkan agama dan tidak takutkan Allah.

Satu kes yang sangat signifikan adalah isteri mencari lelaki lain kerana suaminya tidak ada projek buat bangunan, itupun baru 3 bulan!

Saya menggaru kepala yang tidak gatal.

Ia memang benar-benar menakutkan saya dan Allah telah menyelamatkan saya dahulu, bahawa kerana itu saya masih berkeluarga dan saya sangat-sangat mensyukurinya.

Semoga Allah memberi hidayah kepada dia.

Kisah 3.

Saya tidak membuat qurban pada tahun ini dan saya merasa menyesal.

Akaun kami kekurangan duit kerana membayar sejumlah wang yang agak besar untuk menukar pinjaman perumahan konvensional kepada Islamik.  Sepuluh tahun lepas sukar sekali untuk ada bank yang menawarkan pinjaman perumahan Islamik seperti al-mudharabah etc.

So, bila dah ada peluang dan jalan, kami pun menukar loan tersebut maka bayaran pun dikenakan.  Kata Ustaz Dr Zaharudin, akan ada bayaran bagi menukar loan konvensional kepada Islamik, maka anggaplah bayaran itu sebagai suatu denda/ membayar kepada pinjaman kita yang tidak Islamik dahulu (seperti kaffarah).  Kami redha dan kami lakukannya.

Cuma, pada pagi raya, Tanyalah Ustaz@TV9 kata,

Tidak bolehkah kita berqurban kerana Allah, setahun sekali sahaja.  Bukannya mahal pun, hanya RM 34/bulan atau RM 1.13 sehari duit yang perlu dikumpulkan sehingga setahun jika mengambil kira satu bahagian lembu untuk dikorbankan (RM 400)?.

Saya merasa menyesal pula.  Betul benar, bukannya banyak pun untuk saving kerana Allah ini. 

Memang benar duit dalam kami telah kurang (standby for emergency sahaja), tapi, kan ada duit dalam akaun anak-anak yang sebenarnya kami juga isi setiap bulan?

Ya Allah, ampunkan kami dan panjangkan usia kami untuk melaksanakan qurban kerana Mu pada tahun hadapan.



Tuesday, October 9, 2012

Curang II: 78

Edisi Tambah baik (edited)

Kisahnya semakin menarik.

Terkini beritanya mereka telah berkahwin di sempadan.  Masya Allah.

Berita buruknya ialah mereka berkahwin dua tahun yang lepas. 

Berita baiknya dia belum lagi sakit buatan orang. "Pregnant"

Saya menggelengkan kepala sahaja lah.  Speechless.

Bersembang dengan seorang rakan lain, saya mengambil sikap 'redha'.  Sahabat saya ini mengungkap dengan jelas bahawa perkara curang ini adalah UJIAN dia yang Allah berikan kepadanya.  Dia mampu, maka Allah mengujinya begitu.  Ujian hidupnya sebagai kekasih gelap selama 2 tahun dan mengalah dalam banyak perkara kerana perkahwinan yang belum 'declare'.

Ia kedengaran betul dan benar.  Siapalah kita untuk mempertikaikan kejadian Allah yang merupakan ujian kepada si empunya badan?  Katanya sahabat itu lagi, kita ada anak perempuan, so don't talk about other people, dibimbangi anak dara kita pula terjebak dengan suami orang.  Nauzubillah!

Orang mengata lagi, mesti isteri pertama telah tahu.  Apabila semua orang telah tahu, pasti isteri pertama akan dihentam.  Saya tanya kenapa dihentam pula?

Jawapannya adalah berbaur batu api.  Penat-penat menjaga anak orang untuk menampung kewangan keluarga, tetapi suami buat perangai dan kahwin lagi satu.  Ia juga kedengaran benar namun saya katakan kepada orang yang mengata,

"Kalau isterinya dah tau, dan takde pula adegan serang-menyerang, tandanya isteri itu redha dan mengharap payung emas di syurga nanti".

Saya lega menyatakan demikian.

Tetapi, mereka yang lebih sudu dari kuah ini berkata macam-macam.

"Kasihan isterinya, mesti sakit hati".
"Walaupun redha, hatinya mesti sakit".
"Isterinya punya cantik, kulit putih.  Tak macam isteri kedua ini".
"Redha tu ye lah, tapi hatinya tu macam mana.  Memang lah dapat payung emas.  Mesti sakit hati sangat".
"Langsung tak respek pada dia dah". (penuh emosi menyampah).

Ingin saja saya katakan kepada mereka,

"Kamu berdua masih anak dara, maka berhati-hatilah menghukum orang.  Nanti jangan Allah timpakan ujian ini ke atas kamu.  Kamu pula ada anak dara, maka berpada-padalah bencinya, nanti esok Allah pulangkan batu buah keras atas keceluparan dan kebencian kamu yang melebih-lebih itu.  Isteri pertama itu telah redha dan sudah tahu ganjaran payung emas yang akan dia dapat di syurga nanti.  Kamu semua yang mengata bagai nak rak ini tahu kah apa ganjaran yang kamu akan dapat di akhirat nanti, neraka atau syurga?"

Saya memohon keampunan mu ya Allah atas justifikasi saya pada insiden ini.

Pada dia, semoga hatinya terus kuat menahan tohmahan orang dan cepat-cepatlah mendaftar perkahwinan di sini, bimbang nanti apabila anak telah keluar, tiada surat beranak dapat dikeluarkan kerana tiada sijil nikah dapat membuktikan.  Jangan nanti anak itu menjadi ANAK TIDAK SAH TARAF!

Seperti tulisan saya sebelum ini, apa-apa pun tindakan yang hendak diambil, mintalah petunjuk Allah.  Allah Maha Bijak.  Jika masalah belum berkahwin adalah besar, tetapkan di dalam hati bahawa kamu ada Allah yang MAHA BESAR.

Friday, October 5, 2012

Curang: 77


Ianya topik yang tidak pernah hilang dari berita kehidupan.  Ianya tidak jemu-jemu hadir untuk dikisahkan.  Saya juga ada satu kisah curang yang saya fikir perlu diteladani.

Pada saya, atas alasan apa sekalipun seseorang itu bermain cinta dengan suami/ isteri orang, ia adalah TIDAK BAIK dan perlu DIHENTIKAN.

Dia tua setahun daripada saya namun masih belum berumahtangga.  Rata-rata sahabat yang lain telah mempunyai 2-3 orang anak sedangkan dia masih belum ada tanda-tanda untuk berkahwin.

Barangkali merasa sedih dan malu dengan status  ‘anak dara tua’, dia mengambil keputusan untuk bercinta dengan sesiapa sahaja walaupun dengan suami orang.

Barangkali merasa kesunyian, dia mengambil keputusan untuk bercinta dengan sesiapa sahaja walaupun dengan suami orang.

Barangkali merasa rimas dengan soalan orang/ saudara mara/ keluarga bila hendak berkahwin, dia mengambil keputusan untuk bercinta dengan sesiapa sahaja walaupun dengan suami orang.

Barangkali merasa bosan duduk bersendirian dengan wang ringgit yang melimpah, dia mengambil keputusan untuk bercinta dengan sesiapa sahaja walaupun dengan suami orang.

Barangkali merasa perlunya seorang lelaki di dalam hidupnya, dia mengambil keputusan untuk bercinta dengan sesiapa sahaja walaupun dengan suami orang.
Barangkali sahabat saya berniat untuk mempunyai teman hidup, sekadar itu sahaja, tidak perlu nafkah zahir kerana dia telah sangat mampu. Namun, saya sangat sangsi.
 
Semuanya BARANGKALI.  Hanya dia sahajalah yang tahu apa justifikasi dirinya menyebabkan suami orang itu curang terhadap isterinya.
Atas apa sekalipun alasannya, saya tidak bersetuju dengan jalan yang dia pilih.

Sekarang ini dia membelanjakan sebahagian besar gajinya untuk suami orang itu, berkebetulan pula lelaki itu gajinya jauh lebih rendah daripada gaji sahabat saya itu dan anak pula ramai.

Sekarang ini suami orang itu belum menjadi miliknya yang sah dan logiknya pada semua pasangan bercinta, SEGALANYA BOLEH dan MAHU DIKONGSI.  Tunggu sahaja selepas berkahwin, silap haribulan gaji U, gaji I, gaji I, gaji I. 

Tambahan pula dia telah melabur sekian banyak kepada suami orang itu, saya merasa lebih sangsi jika dia boleh berdiam diri sahaja selepas berkahwin tanpa mendapat layanan sewajarnya seperti layanan yang dia dapat sekarang sebagai seorang kekasih gelap.

Pada masa itu, akan ada ungkit-mengungkit bahawa setelah sekian banyak telah ditaburkan kesenangan dan kemudahan, selepas berkahwin ini takkan tidak boleh meluangkan masa dengannya.  Sudahlah semasa menjadi kekasih gelap, semuanya menjadi biarlah rahsia.  Kemuncak kepada perkahwinan curang inilah yang nanti jika suami orang ini inginkan anak dara, maka ditinggalkan isteri yang telah sekian lama berkorban sama susah sama senang.
Saya bukanlah orang yang sesuai untuk memberi nasihat kepada sesiapa yang berada di dalam situasi ini kerana saya bukan anak dara tua.  Ia akan menjadi tempelak mereka yang terjebak kerana mereka akan mengatakan yang saya bertuah dan tidak merasai apa yang mereka rasa.

Pada saya, berfikirlah dalam-dalam.  Mintalah petunjuk daripada Allah apakah yang terbaik dalam hidup kamu.  Jika kamu kata suami orang itu kamu sukai kerana agamanya, bercinta senyap-senyap di belakang isteri dan anak-anaknya itu adalah kecurangan dan berdosa.  Di mana suami orang itu meletakkan agamanya ketika dia menyambut cinta kamu yang mungkin TERDESAK itu.
Cinta itu TANGGUNGJAWAB.  Mana mungkin kamu kata kamu cinta, tetapi kamu tidak mampu bertanggungjawab!

Astaghfirullahal Azeem............

Wednesday, September 19, 2012

Dakwah: 75

Pada pandangan saya, ianya satu tugas yang berat.  Berat apabila kita perlu memberitahu seseorang tentang kesilapannya ataupun dengan tujuan ingin menyampaikan ilmu Allah walaupun satu ayat.

Setakat ini, banyak ketikanya saya hanya berdakwah melalui tingkahlaku/ sikap/ perangai/ akhlak yang 'baik'.  Saya harap ianya benar-benar baik sehingga orang bukan Islam boleh tertarik kepada Islam.

Dan kebanyakan masanya pun, akhlak Rasulullah adalah penyebab ramainya orang kafir memeluk Islam kan.

Mengingatkan kata-kata ustaz bahawa membawa orang Islam 'kembali' kepada ajaran Islam adalah LEBIH BESAR pahalanya berbanding membawa orang kafir kepada Islam, menyebabkan kepala yang tidak gatal pun menjadi gatal.  Tergaru-garu dan termangu-mangu.

Saya terkilan dengan diri saya sendiri, lemah betul untuk menegur sahabat sekerja yang sangat baik tentang satu kenyataannya.  Demi Allah, dia sahabat yang baik.  Maka dengan itu, kelemahan saya menegurnya membuatkan saya terfikir-fikir, lama begini.

Ditegur barangkali membawa kesan yang baik, mungkin juga tidak baik sebab saya ini belum 'sempurna'.  Bimbang dinilai 'macam bagus' pun iya juga. Aih, bimbang justifikasi orang, bagaimana pula justifikasi Allah?

Selalunya hati kecil menenangkan dengan berkata,
"Benci lah dengan hati, bahawa itu juga iman.  Namun ia adalah selemah-lemah iman".

Sampai bilalah iman ini hendak kuat jika sering disogok dengan kata-kata hati kecil begitu?  Bila pula hati besar ingin berkata-kata?

Peristiwa ini berlaku semasa bulan Ramadhan yang lepas.  Dalam sibuk-sibuk orang membuat persiapan dengan menempah kuih, baju dan lain-lain, beliau menjual tudung rakannya rekaan Pearl Haiya.  Ia tudung yang cantik dan moden namun ia tidak memenuhi spesifikasi saya (menutup dada) di samping harganya yang sangat mahal (pada perkiraan saya ye).  Lalu dalam promosinya kepada saya dan rakan-rakan lain, terutama sekali kepada saya, beliau dengan bersahaja menyatakan,

"Tudung ni sangat sesuai dengan awak, cantik dan mengikut syarak!"

Saya terkesima.

Kenyataan sahabat saya itu kedengaran kelakar dan menghiburkan semua orang yang mendengarnya, namun ia adalah tidak tepat.

Tudung itu hanya menutup pangkal dada atau menutup pandangan depan dada namun bila dari pandangan sisi, ia tetap menampakkan perhiasan wanita yang Allah beratkan untuk dijaga.

"Bahawa labuhkan lah tudungmu agar menutup perhiasan pada dirimu dan sesungguhnya ia menandakan kamu daripada golongan yang baik-baik".

Masya Allah.  Ia menjaga maruah dan melambangkan seseorang itu daripada golongan yang baik-baik. 

Ingin saya katakan padanya, namun suara itu tersekat di kerongkong dan berlegar-legar dalam hati dan kepala sahaja.

"Kak, kalaulah akak tau bahawa tanda aras (benchmark) menutup aurat itu adalah dengannya akak boleh terus menunaikan solat, tidak perlu lagi mencari-cari telekung solat ketika ingin bersolat?".

Beliau pula setelah diperkenalkan dengan tudung jenama ini telah mula memakai bonggol (sanggul tiruan) kerana tudung jenama ini yangbertingkat-tingkat hanya akan kelihatan cantik bila digoyang-goyangkan kepala, terbuai-buai 'skirting' nya. 

Masya Allah.  Ia perkara kedua yang tidak mampu juga untuk ditegur.

"Kurniakanlah kekuatan buat semua hambaMu Ya Allah untuk melaksanakan ketaatan kepadaMu.  Makbulkan hajatku dan makbulkan lah hajat mereka".




Wednesday, July 25, 2012

Hanya terlintas: 64

Nikmat Allah yang manakah yang aku dustakan?

Sekecil-kecil perkara walaupun sekadar lintasan hati, tetap Allah yang Maha Mendengar mengambil tahu dan memakbulkan.  Tiada siapa yang tahu lintasan hati orang lain, kecuali Allah.

Lintasan hati I

Kerap juga towel yang dibawa ke nurseri KH perlu ditukar.  Kadang tu sampai 3 helai seminggu.  Kotor betul.

Terdetik dalam hati,

"Nanti masuk gaji nak tambah towel KH, senang nak ganti-ganti".

Hujung minggu itu rakan sekerja dari Kelantan datang ziarah kami sekeluarga.  Mereka bukan sahaja rakan sekerja malah telah menjadi rakan keluarga kami.

Sebelum balik beliau menghulurkan buah tangan.  Satu beg besar.  Beliau selalu begitu, tidak lokek dengan cenderahati, bukan sahaja kepada anak-anak kami tetapi untuk saya dan suami pun ada!

Alhamdulillah, ada  3 helai towel bersaiz untuk kanak-kanak di dalam beg besar itu.

Allah Maha Mendengar permintaan hambaNya.  Masya Allah.

Lintasan hati II

Sekembalinya dari outstesen di Penang, saya singgah di Kilang Yusoff Taiyoob.  Nak beli kurma dengan harga borong!

Bila dijual dengan harga borong, maknanya kena beli dengan kuantiti yang besar (baca: 2-5 kg ke atas).

Mak aaaiii...banyaknya nak kena beli.

Lastly, I bought the cheapest kurma, which was Ajmal for 2 kg packaging.  The least is 2 kg.

Sampai rumah, pakat-pakat bagi jiran semua sebekas taufu fa.  Berkongsi rezeki yang banyak!

Bila dah start puasa 3 hari ni, nampaknya bekalan kurma sendiri semakin nampak berkurangan.  Tahun ini kami ajak anak-anak makan 3 biji kurma, sempena ikut sunnah Rasulullah, bukan 1-2 biji sahaja seperti tahun-tahun sebelumnya.

Terdetik dalam hati,

"Macam nak kena beli lagi kurma ni.  Kirim kat siapa ye kalau pergi kilang Yusoff Taiyoob".

2-3 kali jugak melintas dalam hati untuk beli kurma.

Hari ini bos kecil menghadiahkan satu bekas taufu fa kurma.  Dua hari sebelumnya rakan sekerja menghadiahkan 1 bekas taufu fa kurma Mariami.

Alhamdulillah.

Nikmat Allah yang manakah yang aku ingin dustakan lagi?

Monday, July 23, 2012

Dr. Azim, Berlarilah Menuju Temanmu Yang Maha Pengasih: 63

Ia berita yang amat mengejutkan.  Pemergiannya juga mengejut.

Beliau pergi dalam tidur sekitar jam 3 pagi.

Saya hanya dapat beritanya setelah ianya sangat terlewat.

Kesal kerana kemudahan teknologi IT (baca: FB dll) yang ada tetapi tidak dibenarkan (baca: banned apabila di pejabat) atas sebab-sebab terlalu ramai yang tidak bertanggung jawab, menyebabkan saya terlepas berita penting dan mendukacitakan ini.

Mesej-mesej akhir yang saya terima lebih menambah duka.

"We prayed solat jenazah for Azim here, at Putrajaya Mosque".

"We buried Azim here at Putrajaya cemetery".

"Tahlil will be tonite at .......saujana pucong".

Apdet yang diterima juga bukan dapat dikejar, kerana semuanya 15-30 minutes late!

Pemergiannya sangat dirasai.  Dr. Azim bukan sahaja rakan sekolah rendah dan sekolah menengah kami, tetapi beliau lebih kepada sahabat keluarga.  Emak dan ayah saya bekerja di bawah penyeliaan ayahnya Dr. Noor Azhar.  Seluruh ahli keluarganya adalah orang yang baik-baik.  Tidak meninggi diri dan sangat berbudi bahasa. 

Oleh kerana beliau seorang yang sangat baik, saya menamakan anak lelaki saya sama dengan nama beliau, Muhammad Azeem.  Ianya dengan harapan semoga anak saya Azeem menuruti sikap dan sifatnya yang berbudi pekerti mulia, juga menjadi seorang doktor muslim yang soleh.

Saya tidak mempunyai kata-kata penguat hati untuk isteri dan 4 orang anaknya yang masih kecil kerana ia sungguh memeritkan, tambahan pula ia berlaku hanya 2 hari sebelum Ramadhan tiba.

Masya Allah.  Sesungguhnya Allah tidak memberi ujian kepada hambaNya di luar daripada kemampuannya.  Saya percaya isteri Dr Azim seorang yang sangat tabah dan solehah.

Semoga Allah merahmati mu Dr Azim.

Sunday, July 15, 2012

Gap: 60

Saya tidak suka ada benteng/sekatan disebabkan oleh status atau disebut gap dengan staf saya.  They are freely to come and talk to me and I always remind them that they are not only my staffs but they are also my FRIENDS.  Saya sentiasa mahu menjaga urusan maknusiawi.  Urusan sesama manusia!

But, being a superior, for me is you MUST NOT break the rules/ laws.  Doing bad things/ behaviors together with them worsen the situation.  Ia akan menghilangkan rasa hormat.  Ketua telah buat salah, anak buah ikut dan teguran atau didikan untuk membetulkan mereka di kemudian hari adalah amat sukar!

Bila seorang ketua menegur staf ketua lain yang berbuat salah itu, senang-senang sahaja teguran itu diperlekehkan kerana ketua mereka sendiri okay dengan kesalahan itu.  Mereka berjemaah melakukan kesilapan or break the rules!

Ianya penyakit yang membarah di dalam sektor perkhidmatan awam.

Ya Allah, lindungilah saya daripada melakukan kesalahan selagi saya masih Engkau hidupkan.

Monday, May 28, 2012

Makan angin: 47

Kawan saya kata dia perlu masa untuk bercuti dengan kawan-kawan.  Only her with her friends, no families.  Suami dan anak-anak tinggal rumah.  Ia adalah sebagai tanda menghargai diri, melepaskan tekanan kerja dan urusan rumahtangga.  Anaknya ada dua, seorang berusia 8 tahun dan seorang lagi berusia 4 tahun.
Kata dia lagi, bercuti dengan keluarga meletihkan sebab perlu menguruskan anak-anak.  Tiada rehat yang sebenar-benar rehat.  Percutian yang memenatkan.
Itu pendapat dia.  Pada satu sisi, saya bersetuju juga.
Pada saya, bercuti dan bersusah-susah sedikit dengan keluarga (anak-anak) itulah percutian sebenarnya.  Ia adalah masa kami bersama-sama tanpa memikirkan hal kerja dan urusan rumah.
Lagi pula, saya merasa bersalah jika ingin bercuti (berjimba-jimba) hanya dengan kawan-kawan dan meninggalkan anak-anak dengan abah mereka.  Bukan saya tidak percayakan suami saya menjaga anak-anak namun saya merasakan ianya tidak patut dibuat.  Lainlah jika saya terpaksa ke luar rumah (outstesen) kerana urusan kerja.
Saya membayangkan bagaimana jika suami pula keluar berjalan-jalan dengan kawan-kawan lelakinya berhari-hari dan meninggalkan saya menguruskan anak-anak bersendirian, atas alasan ingin merehatkan diri daripada tekanan kerja dan urusan rumahtangga yang berterusan.
Pada saya juga, tiada justifikasi yang bersesuai dan tepat untuk membenarkan pasangan kita sukar hanya kerana kita ingin mendapat keseronokan sendiri.  Carilah keseronokan pada menguruskan keluarga dan anak-anak, semoga ia menjadi ibadat yang membawa kita ke syurga Allah tanpa dihisab.
Saya mungkin berfikiran seperti orang-orang lama, seperti mak-mak. 

Friday, May 25, 2012

Kerja luar:46

Kawan saya kata, semenjak usia dah meningkat ni, dia seboleh-bolehnya tak nak buat kerja luar (outstesen).  Umur dia dua tahun lebih tua daripada saya.
Katanya lagi, persediaan untuk kerja luar lebih banyak dan teruk daripada buat kerja-kerja itu seharian semasa tidak kerja luar.  Tambah dia lagi, persediaan mental itu yang sangat hebat.
Memang benar.  Saya tidak menyangkalnya.
Namun, saya agak suka bila dapat outstesen (bukan selalu-selalu).  Pada saya, Allah ingin memberikan masa rehat kepada saya daripada urusan rumah yang tidak pernah berhabisan.
Kawan saya itu akan mengambil peluang tidur awal (supaya dapat tidur lama) apabila kerja luar siap, lebih kurang jam 10 malam.
Pada saya, masa kerja luar inilah peluang besar buat saya untuk menulis blog dan membaca buku-buku yang sudah lama dibeli namun belum sempat membacanya.  Ianya masa untuk diri saya melakukan kerja-kerja yang saya suka!
 Tidur tidak perlu lama.  Penting tidur tidak terganggu dan sekejap pun akan mencukupi (tiada baby merengek minta susu atau pampers bocor).  I enjoyed some alone time given by Allah for me.  I am blessed.
Alhamdulillah.

Wednesday, May 23, 2012

Vitamin B-Complex: 45

Kawan saya bagi saya sebiji untuk cuba.  Dia kata kalau ikutkan deskripsi pada botol vitamin, ia boleh merehatkan saraf dan otot (relaxing effect).  Cerita mudahnya, vitamin ini sesuai bagi mereka yang sangat kelam kabut bila kejar deadline dan sedikit haru biru (terlompat-lompat sebab nak cepat ke sana ke mari).  Tambah dia lagi, vitamin ini akan menurunkan tahap stress seseorang.
Saya teruja.  Saya pun kelam kabut juga.  Setuju cuba, tambahan pula percuma.  Hehehe.
Mesyuarat jam 2.30 petang- saya adalah setiausaha.  A bit stress sebab mesyuarat adalah gerak kerja untuk implement ISO to all our laboratories.  Big job! It will be a dreadful months and years...
" Why I still nervous and stress?" Tanya saya pada kawan saya yang bagi cuba vitamin itu.  Dia pengerusi mesyuarat.
"Owh, tindakbalas adalah selepas 3 jam". 
Laaa, baru bagitau.  No wonder lah I feel the same, before I took the medicine.  Tiada perubahan!
Balik rumah-6.15 pm sampai.  Alhamdulillah.
Saya siram pokok keliling rumah.
Saya angkat semua baju kering di ampaian.
Saya sedia bahan-bahan masak untuk makan malam. 
Dan saya dengan tenang mula memasak ikan tenggiri percik!
Tiada bergegas-gegas.  Tiada panas hati.  Tiada terkocoh-kocoh buat kerja sambil mulut ngomel-ngomel, seperti selalu-selalu.
Saya rasa, itu kesan vitamin B-complex.  Y a Allah, menakutkan pula.
Saya tak jadi untuk mengambilnya sebagai daily supplement.

Wednesday, May 2, 2012

Takziah Kak Durra: 044

Berlarilah Menuju TemanMu yang Maha Pengasih buat bonda sahabat maya saya Kak Durra.  Semoga roh mu tenang di sana, bahawa pemergianmu adalah kerehatan yang sebenar-benarnya daripada keletihan dan kelelahan dunia, insyaAllah.

Ianya satu berita yang sangat menyedihkan serta menyayat hati.  Baru bulan lepas bondanya datang melawatnya di Southampton.  Sangat baru.  Sangat mengejut.

Walaupun Kak Durra adalah sahabat maya saya, namun kesedihan pemergian ibunya sangat saya rasai kerana saya juga mempunyai ibu.  Dan kami pula lebih kurang sebaya, maka ibu kami pasti lebih kurang sebaya.  Kalaupun mungkin ibunya lebih berusia daripada ibu saya, namun Kak Durra telah kehilangan ibu pada usia lebih kurang usia saya.  Ya Allah, ianya ujian yang saya tidak mampu hadapi.

Sebelum ini, dua sahabat sekerja saya turut kehilangan bonda mereka. Kami sebaya.  Saya merasakan kesedihan dan kehibaan mereka.  Ianya satu perasaan yang menyakitkan.  Kita hanya ada satu bonda dan bonda itu pula telah diambil Allah.  Ya Allah, mana mungkin ada bonda buat kita lagi.

Saya memikirkan jika saya berada di tempat mereka, cukupkah bakti saya kepada ibu saya?  Saya tidak memikirkan tentang sahabat2 adakah mereka telah cukup bakti kepada ibu mereka kerana saya pasti mereka lebih baik dalam melayani ibu masing2.

Ada satu cerita di zaman Rasulullah saw. tentang seorang lelaki yang memikul ibunya di belakangnya dalam satu perjalanan yang jauh, lalu ditanya kepada Rasulullah saw.

"Adakah terbalas jasa ibu dengan saya memikulnya di belakang saya pada perjalanan yang sangat jauh ini, wahai Rasulullah?"

"Bahkan TIDAK walaupun setitis susunya". jawab Rasulullah saw.

Masya Allah.   Saya  tidak pernah memikul ibu saya di belakang saya.  Ianya tidak terbalas!

Takziah Kak Durra .


Friday, April 27, 2012

Tunjuk pandai: 043

Kepantangan saya orang yang suka sangat tunjuk pandai.  Buat-buat pandai!

Orang-orang macam ini memang Allah jadikan mereka sangat meyakinkan orang yang mendengar kata-kata mereka.

Saya salah seorang yang telah terpengaruh dengan buat-buat pandai dia.  Padahal, sebelum ini dia pernah mengeluarkan cerita dan cakap yang sungguh tidak berfakta tepat/ mereka-reka kepada orang lain sehingga jatuh percaya orang yang mendengar.  Sehingga pada waktu itu, saya merasa kasihan dengan isterinya.

"Apa lagi yang dia dah kelentong isterinya yang seorang surirumah itu?"

Namun, kuasa Allah tidak terbatas kan, jadi Allah telah tunjukkan jalan kepada saya.

Lain kali berwaspadalah.  You can hear but don't listen!  You can see but don't believe!

Kepada orang yang suka tunjuk pandai, "shut up!" 

You just make me MOODY!

Monday, April 23, 2012

Radikal kah saya?:041

Saya bendahari Kelab Kebajikan, di pejabat saya.

Telah dipersetujui oleh Pengarah, yuran dikutip sebanyak RM 5 /bulan.  Ianya untuk aktiviti mesra harmoni staf (jamuan/ hadiah kelahiran/ hadiah perkahwinan) dan ihsan (kematian/ musibah).

Tapi, ianya tugas yang sukar, bila orang ramai tidak merasa bertanggungjawab untuk membayar yuran.  Menjadi dua kali sukar bila pengumuman memohon bayaran pun orang tanggalkan daripada dinding pengumuman.  Tiga kali sukar bila duit kelab selalu akan diminta untuk menampung belanja jamuan yang selalunya mencecah RM 600 (baca: 60 orang staf, caj 1 kepala RM 10).

Jadi, saya e-mel kan kepada semua staf rekod pembayaran mereka dan memohon pembayaran.  Dengan ilham yang Allah beri, saya sertakan sekali bayaran secara mudah iaitu melalui online.  Bank-in kan saja.  Sekarang ini pula, maklumat di hujung jari.  Tak perlu ke bank.  Taip2 sahaja, sampailah depan akaun bank.

Saya masih memerhati reaksi staf/ warga ofis/ rakan2.  Saya masih menunggu maklumbalas.  InsyaAllah, saya memohon kepada Allah tindakan yang berhikmah!  Ampunkan saya Ya Allah jika telah bertindak ekstrem/ radikal.

Tuesday, April 17, 2012

Lagi-lagi APC:037

Saya tidak ingat samada ianya hadith ataupun firman Allah, tetapi ia berbunyi begini;

"Kadangkala rezeki itu Allah bagi melalui manusia dan kita sebagai seorang manusia seharusnya memudahkan rezeki / memberi ruang/ peluang rezeki kepada orang lain".

Alhamdulillah saya mendapat APC.  Ianya satu penghargaan dan kepercayaan orang atasan kepada saya.  Rezeki Allah melalui bos saya dengan beliau memberi penilaian yang baik terhadap kerja-kerja saya.

Alhamdulillah staf saya juga berkongsi pentas dengan saya, insyaAllah melalui penilaian baik saya terhadap kerja-kerjanya yang tidak mengenal jemu.

Tahun sebelumnya, seorang lagi staf saya juga telah menerima APC.  Alhamdulillah dan ia rezeki Allah kepadanya melalui penilaian yang bagus daripada saya sebagai orang atasan.  Beliau juga pada tahun ini telah berjaya naik pangkat!

Ianya rezeki daripada Allah yang datangnya melalui saya.  Sebaiknya kita tidak mencantas rezeki orang lain dengan berdengki dan busuk hati. 

Congratulations to Amin and Salwa! Owh, to my boss too, Encik Ahmad Tarmizi..kita berkongsi pentas tahun ni.