Wednesday, December 12, 2012

Status II:86

Ini juga status yang saya teringin juga untuk publish kat FB tetapi demi memikirkan kesan buruk kepada orang-orang yang tidak boleh meraikan pendapat berbeza, saya curahkan di sini.

Janganlah dipolitikkan pendapat Abby Abadi iaitu daripada menghabiskan duit untuk ke Gaza itu (RM 7500), lebih baik didermakan.  Raikanlah pendapat yang berbeza, nescaya kamu temui hikmah di sebaliknya.  Jangan melenting kepada sesiapa yang diberi keizinan oleh Allah untuk ke Gaza.  Jangan dipolitikkan Afdlin Shauki yang telah ke sana.  Barangkali beliau ke sana bukan atas tiket UMNO pun tetapi atas dasar kemanusiaan.  Kemudian, jangan dilibatkan ustaz-ustaz lain yang berada di pentas PAS yang bercakap berdegar-degar (UAI) tentang berjuang untuk Palestin tetapi tidak ke Gaza pun.  Masya Allah, mereka yang dapat pergi, alhamdulillah.  Mereka yang belum diberi rezeki Allah untuk ke sana, jangan dipandang serong dan dipolitikkan.  Hanya Allah yang Maha Mengetahui kenapa mereka belum dapat ke sana. 

Ustaz Hassan Din Al-Hafiz pernah berkata, "Cukuplah menunaikan haji dan umrah sekali seumur hidupmu.  Jika kamu berkemampuan lagi, adalah lebih baik kamu bersedekah RM 5-10 ribu kamu kepada masjid atau surau.  Sesungguhnya itu adalah lebih baik bagimu kerana hanya 3 perkara yang akan menjadi pencenmu di dalam alam barzakh iaitu doa anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan sedekah jariah.  Bersedekah kepada masjid/ surau/ adalah sedekah jariah yang berterusan selagi masjid/ surau itu digunakan oleh orang ramai untuk beribadat/ mengimarahkan rumah Allah.

Yang baik itu daripada Allah.  Bersangka baik lah.

Saturday, December 8, 2012

Status I:85

Banyak perkara yang saya hasrat untuk letak di status FB, tapi banyak juga yang tidak menjadi.

Macam-macam lintasan hati, bimbang itu, risau ini, boleh ke tak boleh...akhirnya, saya letak DI SINI.

Status I

Dia menasihatkan saya, "simpanlah duit, bersalin kat hospital swasta, senang".  Hendak sahaja saya katakan kepada dia, "Saya bukan tiada duit untuk bersalin di hospital swasta tetapi saya tidak perlu membazir ribu-ribu untuk bersalin dan hospital kerajaan (baca: Hospital Putrajaya) pun is just great and good.  Bukan seperti dia yang berlagak pegawai besar (baca:bukan pegawai pun, hanya kakitangan sokongan) dan bersalin di hospital swasta terkemuka sehingga emak mertua terpaksa membantu anak lelakinya membayar kos RM 8 ribu untuk kos bersalin dia.  Dia pula dengan megah bercerita kepada semua orang, kos bersalin adalah hasil simpanannya dan dia pula hendak menasihatkan saya untuk menyimpan duit?." Huh, orang jenis ini pun ada ye.

Status ini memang TIDAK BOLEH.  Ia dipenuhi kegeraman.  Tapi, memang saya geram dan saya mahu dia hentikan perangai berlagak tidak kena tempat dia tu.

Kata seorang pakar kewangan US (baca:kebetulan tertonton rancangan beliau tentang pengurusan belanjawan keluarga/diri), seseorang yang mempunyai simpanan 3 bulan gajinya adalah orang yang kukuh/ stabil kedudukan kewangannya. 

Saya dengan syukur kepada Allah mempunyai simpanan itu, hasil daripada usaha berjimat cermat dan mengambil panduan pakar kewangan tersebut.

Ingin saya tanya padanya, dia ada ke simpanan sebulan gaji?

Tak lama lagi dia akan bersalin lagi.  Hmmm, adakah duit mak mertuanya lagi akan terkorban?

Duit bantuan sebelum ni pun saya pasti belum berbayar.

Ukurlah baju di badan sendiri. Saya memang tidak boleh tahan dengan orang sebegini. Dalam kes ini, dia!

Wednesday, December 5, 2012

Sokong:84

Saya bukan kaki sukan semenjak berkahwin.

Dahulu saya kaki sukan lumba kereta, sehingga Wayne Rainey parah lumpuh pun saya ambil tahu.

Dahulu juga saya kaki sukan badminton.  Satu buku skrap tebal padat dengan semua kejohanan badminton saya kumpulkan.  Semua perlawanan di TV saya tonton dan semua pemain sehingga anak pinak mereka dan harta kekayaan mereka hasil mewakili negara dan memenangi pertandingan pun saya tahu.

Itu dahulu lah.

Sekarang tidak lagi kerana suami saya SANGAT tidak minat sukan!

Saya menjadi tiada geng untuk berseronok tentang berita sukan. 

Baru-baru ini semasa Malaysia lawan Singapura dan kalah 3-0 dalam Piala AFF Suzuki? (harap betul), suami saya mengeluarkan kenyataan pedas.  Kemudian bila Malaysia menang 2-0 lawan Indonesia bagi piala yang sama, suami saya bidas juga.

Haih...

Namun sekurang-kurangnya suami saya pendapatnya SATU, tidak berbolak balik.

Semasa kalah lawan Singapura, kebanyakan status di FB:

"Gaji mahal mengalahkan Surgeon, main macam hapa".

"Penat je tengok, main macam harem". ~penat ke tengok?  Rasanya pemain lagi penat.

Semasa menang lawan Indonesia, kebanyakan status di FB:

"Terbaik Harimau Malaya, salute!"

"Saya memang menyokong negara saya, ok".

Hipokrit.

Tuesday, November 27, 2012

Ajak Paksa Rela:83

Saya mengajak anak-anak saya mencintai Al-Quran. 

Saya mengajak mereka untuk menghafalnya.

Saya mengajak mereka untuk memahaminya.

Ia semata-mata kerana Allah dan saya mahukan anak-anak saya menjadi al-haafizh dan al-haafizhah.  Ia semata-mata untuk mendapatkan ganjaran/ fadhilat orang yang menghafaz al-Quran untuk membawa 10 orang ahli keluarganya yang telah disahkan hukuman ke neraka untuk masuk ke syurga, dengan rahmat Allah.

Sasaran saya bahawa dengan ketiga-tiga anak menjadi al-haafizh dan al-hafiizhah, In Sya Allah sekurang-kurangnya 30 orang ahli keluarga kami dapat sama-sama berkumpul di syurga Allah sebagaimana Allah mengumpulkan kami semua sebagai sebuah keluarga di dunia.

Masya Allah, ianya tugas yang berat dan berliku, namun dengan rahmat Allah, saya yakin ia boleh berlaku.

Kem Hafal Quran selama sebulan sempena cuti sekolah ini telah saya gunakan sebaik mungkin untuk 2 anak yang telah boleh/ pandai membaca al-quran.

Saya ajak, kadang-kadang datang mood malas mereka, terpaksa saya paksa dan lama-lama mereka akan rela dan seronok dengan sendirinya.  Saya percaya dengan keajaiban al-Quran yang sangat mujarab dalam melembutkan hati dan sentiasa menenangkan.

Saya turut mengajak rakan-rakan untuk anak-anak mereka turut serta hadir di dalam program yang baik ini.  Rata-rata jawapan mereka mengecewakan saya.

"Tengoklah macam mana.  Nak kena tanya anak-anak dulu, nak ke tak nak.  Kalau tak nak, tak boleh buat apa juga kan".

"Lama sangat sebulan tu, kalau 2 minggu ok jugak, kata anak akak tu".

"Diorang tak nak, bila bagitau saja, tunjuk muka tak minat.  Nak duduk rumah saja".

Masya Allah, fikir saya, di sini siapa ibu siapa anak?  Siapa patut didik siapa? 

Kalau kita sebagai ibu yang masih menjaga anak di bawah tanggungjawab kita (belum berkahwin), maka wajarkah berkata demikian dan memberi kebebasan kepada anak untuk menentukan apa yang mereka mahu buat walaupun hanya duduk melepak sepanjang 1 bulan setengah cuti sekolah dengan menonton TV dan bermain PS2?

Pada saya, jika dia pasti jawapan yang dia berikan nanti diterima Allah di akhirat sana apabila ditanya tentang tanggungjawab yang dia tidak mampu/ boleh galas dan sempurnakan, tidak mengapalah. 

Teruslah bertanya anak apa yang mereka MAHU buat dan ikutkan sahaja berbanding dia menentukan apa yang mereka PERLU buat.

Nauzubillahiminzalik.

Sunday, November 25, 2012

Sheikh Ahmad Yasin:82


Pesanan Syeikh Ahmad Yasin kepada para Pemuda dan Pemudi :

☛ Wahai anak-anakku, telah tiba saatnya kalian kembali kepada ALLAH swt dengan meninggalkan pelbagai keseronokan dan kealpaan kehidupan dan menyingkirkannya jauh daripada kehidupan kamu. Telah tiba saatnya kalian bangun dan melakukan solat subuh secara berjemaah. Sudah sampai saatnya untuk kalian menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, mengamalkan kandungan al-Quran serta mencontohi kehidupan Nabi Muhammad saw.

☛
Aku menyeru kamu wahai anak-anakku untuk solat tepat pada waktunya. Lebih dari itu, aku mengajak kalian wahai anak-anakku, untuk mendekat diri kepada sunnah Nabi kalian yang agung.

☛ Para Pemuda, aku ingin kamu menyedari dan menghayati makna tanggung jawab. Kalian harus tegar menghadapi kesulitan hidup dengan meninggalkan keluh kesah. Aku menyeru kamu untuk menghadap ALLAH SWT dan memohon keampunan dari-Nya agar Dia memberi rezeki yang berkat kepada kamu. Aku menyeru kamu supaya menghormati orang yang lebih tua dan menyayangi orang yang lebih muda. 


☛ Aku ingin kamu tidak tertidur oleh alunan-alunan muzik yang melalaikan, melupakan kata-kata yang menyebutkan cinta kepada manusia dan dunia serta menggantikannya dengan kata amal, kerja dan zikir kepada ALLAH. Wahai anak-anakku, aku amat berharap kamu tidak sibuk dengan muzik dan tidak terjerumus ke dalam arus syahwat.

☛ Wahai Puteriku , aku ingin kamu berjanji kepada ALLAH akan mengenakan hijab secara jujur dan betul. Aku meminta kamu berjanji kepada ALLAH bahawa kamu akan mengambil peduli tentang agama dan Nabi kalian yang mulia. Jadikanlah ibunda kamu, Khadijah dan Aisyah, sebagai teladan. Jadikan mereka sebagai pelita hidup kamu. Haram hukumnya bagi kamu untuk melakukan sesuatu yang boleh menarik perhatian pemuda supaya mendekati kalian.

 

Friday, November 23, 2012

Bengkak: 81

Hidayah Allah ini datang daripada pelbagai cara.  Kadang-kadang kita sendiri tidak merasakan ianya hidayah daripada Allah yang sentiasa sayangkan hambaNya dan inginkan yang terbaik buat semua makhluk ciptaanNya.

Ramai orang belum terbuka hatinya untuk menutup aurat.  Kalau diajak,

"Ingat yang pakai tudung tu baik sangat?  Kadang perangai lebih teruk".

Ingin sahaja dikatakan,

"Tetapi kamu yang tidak memakai tudung (tidak menutup aurat) adalah lebih tidak baik kerana melanggar perintah Allah".

Suara tersekat di kerongkong.

Lalu Allah mendatangkan bengkak di leher (swelling thyroid gland).

Sekarang telah pun memakai tudung.

"Dapat tutup leher yang bengkak ni pun jadilah (memberi justifikasi kenapa memakai tudung)."

Masya Allah, begitu mahal harga sebuah hidayah Allah.  Didatangkan kesakitan leher yang bengkak semata-mata untuk memberi sebab hambaNya menutup aurat.

Fikir saya, kalau tidak diberikan bengkak di leher, belum tahu lagi lah bila masanya untuk menutup aurat. 

Semoga dia sedar bahawa Allah tidak menjadikan/mengizinkan sesuatu itu terjadi (bengkak leher) dengan sia-sia, namun ada didikan (menutup aurat) yang Allah ingin berikan.  Maha Suci Allah daripada melakukan sesuatu dengan sia-sia.

Wednesday, November 21, 2012

Halal:80


Sahabat sepejabat ingin menunaikan umrah pada Januari 2013 nanti.  Alhamdulillah, berkat menabung beliau dan suami bakal menjejakkan kaki untuk beribadat di Mekah dan Madinah.

Urusan untuk ke sana memerlukan passport.

“Tolong saya print gambar saya dan suami ni (sambil beliau mengunjukkan thumbdrive berisi gambar IC beliau dan suami kepada staf yang mengurus kerja-kerja percetakan di pejabat).

Staf tadi mengambil thumbdrive itu tanpa banyak tanya.

“Printlah penuh kertas A4, penuhkan kertas tu, nanti membazir.  Print je, lain kali tak perlu print lagi.  Nak pakai 4 sahaja”.

Saya hanya mendengar dan saya pun memang sedang berurusan dengan staf tersebut.

Mulutnya ringan bercerita bahawa beliau perlukan gambar tersebut untuk membuat passport bagi tujuan menunaikan umrah.

Saya juga bersembang sedikit sebanyak, meraikan perasaan terujanya. 

Dalam hati berkata, “hendak menunaikan umrah, amalan yang mulia dan sangat baik tetapi menggunakan pejabat punya printer untuk print gambar?”. 

Saya sedikit kesal, namun saya diamkan sahaja.

Petang itu, sahabat saya ini menelefon saya.

“Rupa-rupanya gambar passport mesti 70% muka ye dan berlatar belakang putih.  Gambar saya tadi tak valid lah sebab latar belakang biru (untuk IC).”

“Ye ke? Saya pun dah lupa”.  Balas saya.

“Takpe lah, saya akan ke kedai gambar untuk ambil gambar baru”.

Saya mengucapkan syukur.  Bahawa Allah amat sayangkan hambaNya telah memastikan segala harta bagi tujuan umrah yang bakal beliau laksanakan adalah halal dan baik.

Alhamdulillah hirobbil aalamin.