Tuesday, October 9, 2012

Curang II: 78

Edisi Tambah baik (edited)

Kisahnya semakin menarik.

Terkini beritanya mereka telah berkahwin di sempadan.  Masya Allah.

Berita buruknya ialah mereka berkahwin dua tahun yang lepas. 

Berita baiknya dia belum lagi sakit buatan orang. "Pregnant"

Saya menggelengkan kepala sahaja lah.  Speechless.

Bersembang dengan seorang rakan lain, saya mengambil sikap 'redha'.  Sahabat saya ini mengungkap dengan jelas bahawa perkara curang ini adalah UJIAN dia yang Allah berikan kepadanya.  Dia mampu, maka Allah mengujinya begitu.  Ujian hidupnya sebagai kekasih gelap selama 2 tahun dan mengalah dalam banyak perkara kerana perkahwinan yang belum 'declare'.

Ia kedengaran betul dan benar.  Siapalah kita untuk mempertikaikan kejadian Allah yang merupakan ujian kepada si empunya badan?  Katanya sahabat itu lagi, kita ada anak perempuan, so don't talk about other people, dibimbangi anak dara kita pula terjebak dengan suami orang.  Nauzubillah!

Orang mengata lagi, mesti isteri pertama telah tahu.  Apabila semua orang telah tahu, pasti isteri pertama akan dihentam.  Saya tanya kenapa dihentam pula?

Jawapannya adalah berbaur batu api.  Penat-penat menjaga anak orang untuk menampung kewangan keluarga, tetapi suami buat perangai dan kahwin lagi satu.  Ia juga kedengaran benar namun saya katakan kepada orang yang mengata,

"Kalau isterinya dah tau, dan takde pula adegan serang-menyerang, tandanya isteri itu redha dan mengharap payung emas di syurga nanti".

Saya lega menyatakan demikian.

Tetapi, mereka yang lebih sudu dari kuah ini berkata macam-macam.

"Kasihan isterinya, mesti sakit hati".
"Walaupun redha, hatinya mesti sakit".
"Isterinya punya cantik, kulit putih.  Tak macam isteri kedua ini".
"Redha tu ye lah, tapi hatinya tu macam mana.  Memang lah dapat payung emas.  Mesti sakit hati sangat".
"Langsung tak respek pada dia dah". (penuh emosi menyampah).

Ingin saja saya katakan kepada mereka,

"Kamu berdua masih anak dara, maka berhati-hatilah menghukum orang.  Nanti jangan Allah timpakan ujian ini ke atas kamu.  Kamu pula ada anak dara, maka berpada-padalah bencinya, nanti esok Allah pulangkan batu buah keras atas keceluparan dan kebencian kamu yang melebih-lebih itu.  Isteri pertama itu telah redha dan sudah tahu ganjaran payung emas yang akan dia dapat di syurga nanti.  Kamu semua yang mengata bagai nak rak ini tahu kah apa ganjaran yang kamu akan dapat di akhirat nanti, neraka atau syurga?"

Saya memohon keampunan mu ya Allah atas justifikasi saya pada insiden ini.

Pada dia, semoga hatinya terus kuat menahan tohmahan orang dan cepat-cepatlah mendaftar perkahwinan di sini, bimbang nanti apabila anak telah keluar, tiada surat beranak dapat dikeluarkan kerana tiada sijil nikah dapat membuktikan.  Jangan nanti anak itu menjadi ANAK TIDAK SAH TARAF!

Seperti tulisan saya sebelum ini, apa-apa pun tindakan yang hendak diambil, mintalah petunjuk Allah.  Allah Maha Bijak.  Jika masalah belum berkahwin adalah besar, tetapkan di dalam hati bahawa kamu ada Allah yang MAHA BESAR.

Friday, October 5, 2012

Curang: 77


Ianya topik yang tidak pernah hilang dari berita kehidupan.  Ianya tidak jemu-jemu hadir untuk dikisahkan.  Saya juga ada satu kisah curang yang saya fikir perlu diteladani.

Pada saya, atas alasan apa sekalipun seseorang itu bermain cinta dengan suami/ isteri orang, ia adalah TIDAK BAIK dan perlu DIHENTIKAN.

Dia tua setahun daripada saya namun masih belum berumahtangga.  Rata-rata sahabat yang lain telah mempunyai 2-3 orang anak sedangkan dia masih belum ada tanda-tanda untuk berkahwin.

Barangkali merasa sedih dan malu dengan status  ‘anak dara tua’, dia mengambil keputusan untuk bercinta dengan sesiapa sahaja walaupun dengan suami orang.

Barangkali merasa kesunyian, dia mengambil keputusan untuk bercinta dengan sesiapa sahaja walaupun dengan suami orang.

Barangkali merasa rimas dengan soalan orang/ saudara mara/ keluarga bila hendak berkahwin, dia mengambil keputusan untuk bercinta dengan sesiapa sahaja walaupun dengan suami orang.

Barangkali merasa bosan duduk bersendirian dengan wang ringgit yang melimpah, dia mengambil keputusan untuk bercinta dengan sesiapa sahaja walaupun dengan suami orang.

Barangkali merasa perlunya seorang lelaki di dalam hidupnya, dia mengambil keputusan untuk bercinta dengan sesiapa sahaja walaupun dengan suami orang.
Barangkali sahabat saya berniat untuk mempunyai teman hidup, sekadar itu sahaja, tidak perlu nafkah zahir kerana dia telah sangat mampu. Namun, saya sangat sangsi.
 
Semuanya BARANGKALI.  Hanya dia sahajalah yang tahu apa justifikasi dirinya menyebabkan suami orang itu curang terhadap isterinya.
Atas apa sekalipun alasannya, saya tidak bersetuju dengan jalan yang dia pilih.

Sekarang ini dia membelanjakan sebahagian besar gajinya untuk suami orang itu, berkebetulan pula lelaki itu gajinya jauh lebih rendah daripada gaji sahabat saya itu dan anak pula ramai.

Sekarang ini suami orang itu belum menjadi miliknya yang sah dan logiknya pada semua pasangan bercinta, SEGALANYA BOLEH dan MAHU DIKONGSI.  Tunggu sahaja selepas berkahwin, silap haribulan gaji U, gaji I, gaji I, gaji I. 

Tambahan pula dia telah melabur sekian banyak kepada suami orang itu, saya merasa lebih sangsi jika dia boleh berdiam diri sahaja selepas berkahwin tanpa mendapat layanan sewajarnya seperti layanan yang dia dapat sekarang sebagai seorang kekasih gelap.

Pada masa itu, akan ada ungkit-mengungkit bahawa setelah sekian banyak telah ditaburkan kesenangan dan kemudahan, selepas berkahwin ini takkan tidak boleh meluangkan masa dengannya.  Sudahlah semasa menjadi kekasih gelap, semuanya menjadi biarlah rahsia.  Kemuncak kepada perkahwinan curang inilah yang nanti jika suami orang ini inginkan anak dara, maka ditinggalkan isteri yang telah sekian lama berkorban sama susah sama senang.
Saya bukanlah orang yang sesuai untuk memberi nasihat kepada sesiapa yang berada di dalam situasi ini kerana saya bukan anak dara tua.  Ia akan menjadi tempelak mereka yang terjebak kerana mereka akan mengatakan yang saya bertuah dan tidak merasai apa yang mereka rasa.

Pada saya, berfikirlah dalam-dalam.  Mintalah petunjuk daripada Allah apakah yang terbaik dalam hidup kamu.  Jika kamu kata suami orang itu kamu sukai kerana agamanya, bercinta senyap-senyap di belakang isteri dan anak-anaknya itu adalah kecurangan dan berdosa.  Di mana suami orang itu meletakkan agamanya ketika dia menyambut cinta kamu yang mungkin TERDESAK itu.
Cinta itu TANGGUNGJAWAB.  Mana mungkin kamu kata kamu cinta, tetapi kamu tidak mampu bertanggungjawab!

Astaghfirullahal Azeem............

Thursday, September 20, 2012

Dialog hati:76

Biasa bagi saya hati yang berkecamuk, mempertikai itu dan ini.

Sebagai contoh pada hari Khamis, pasti dialog hati ini terjadi.

Hati malas berkata,

"Tak yah la puasa, kan dah habis ganti".

Hati baik kata,

"Apalah salahnya puasa sunat, boleh dapat pahala".

Hati malas berkata lagi,

"Alaa, minggu depan pun boleh buat.  Esok ada seminar, mesti makan best".

Hati baik kata pula,

"Betul juga tapi kalau ke seminar tapi tak payah makan, cepat boleh balik ofis buat keje yang menimbun, sebab kalau dah makan, mesti menyembang.  Paling cepat habis pun setengah jam...".

Hati malas menyogok hasutan lagi,

"Minggu depan buat lah sekaligus, Isnin dan Khamis".

Hati baik perlu berkeras,

"Saya mesti berpuasa sunat untuk menambah pahala buat bekalan ke Syurga!".

Alhamdulillah saya berpuasa sunat hari ini.  Terima kasih Allah kerana membantu saya mengamalkan amalan soleh dan memberi kekuatan melawan nafsu.

Wednesday, September 19, 2012

Dakwah: 75

Pada pandangan saya, ianya satu tugas yang berat.  Berat apabila kita perlu memberitahu seseorang tentang kesilapannya ataupun dengan tujuan ingin menyampaikan ilmu Allah walaupun satu ayat.

Setakat ini, banyak ketikanya saya hanya berdakwah melalui tingkahlaku/ sikap/ perangai/ akhlak yang 'baik'.  Saya harap ianya benar-benar baik sehingga orang bukan Islam boleh tertarik kepada Islam.

Dan kebanyakan masanya pun, akhlak Rasulullah adalah penyebab ramainya orang kafir memeluk Islam kan.

Mengingatkan kata-kata ustaz bahawa membawa orang Islam 'kembali' kepada ajaran Islam adalah LEBIH BESAR pahalanya berbanding membawa orang kafir kepada Islam, menyebabkan kepala yang tidak gatal pun menjadi gatal.  Tergaru-garu dan termangu-mangu.

Saya terkilan dengan diri saya sendiri, lemah betul untuk menegur sahabat sekerja yang sangat baik tentang satu kenyataannya.  Demi Allah, dia sahabat yang baik.  Maka dengan itu, kelemahan saya menegurnya membuatkan saya terfikir-fikir, lama begini.

Ditegur barangkali membawa kesan yang baik, mungkin juga tidak baik sebab saya ini belum 'sempurna'.  Bimbang dinilai 'macam bagus' pun iya juga. Aih, bimbang justifikasi orang, bagaimana pula justifikasi Allah?

Selalunya hati kecil menenangkan dengan berkata,
"Benci lah dengan hati, bahawa itu juga iman.  Namun ia adalah selemah-lemah iman".

Sampai bilalah iman ini hendak kuat jika sering disogok dengan kata-kata hati kecil begitu?  Bila pula hati besar ingin berkata-kata?

Peristiwa ini berlaku semasa bulan Ramadhan yang lepas.  Dalam sibuk-sibuk orang membuat persiapan dengan menempah kuih, baju dan lain-lain, beliau menjual tudung rakannya rekaan Pearl Haiya.  Ia tudung yang cantik dan moden namun ia tidak memenuhi spesifikasi saya (menutup dada) di samping harganya yang sangat mahal (pada perkiraan saya ye).  Lalu dalam promosinya kepada saya dan rakan-rakan lain, terutama sekali kepada saya, beliau dengan bersahaja menyatakan,

"Tudung ni sangat sesuai dengan awak, cantik dan mengikut syarak!"

Saya terkesima.

Kenyataan sahabat saya itu kedengaran kelakar dan menghiburkan semua orang yang mendengarnya, namun ia adalah tidak tepat.

Tudung itu hanya menutup pangkal dada atau menutup pandangan depan dada namun bila dari pandangan sisi, ia tetap menampakkan perhiasan wanita yang Allah beratkan untuk dijaga.

"Bahawa labuhkan lah tudungmu agar menutup perhiasan pada dirimu dan sesungguhnya ia menandakan kamu daripada golongan yang baik-baik".

Masya Allah.  Ia menjaga maruah dan melambangkan seseorang itu daripada golongan yang baik-baik. 

Ingin saya katakan padanya, namun suara itu tersekat di kerongkong dan berlegar-legar dalam hati dan kepala sahaja.

"Kak, kalaulah akak tau bahawa tanda aras (benchmark) menutup aurat itu adalah dengannya akak boleh terus menunaikan solat, tidak perlu lagi mencari-cari telekung solat ketika ingin bersolat?".

Beliau pula setelah diperkenalkan dengan tudung jenama ini telah mula memakai bonggol (sanggul tiruan) kerana tudung jenama ini yangbertingkat-tingkat hanya akan kelihatan cantik bila digoyang-goyangkan kepala, terbuai-buai 'skirting' nya. 

Masya Allah.  Ia perkara kedua yang tidak mampu juga untuk ditegur.

"Kurniakanlah kekuatan buat semua hambaMu Ya Allah untuk melaksanakan ketaatan kepadaMu.  Makbulkan hajatku dan makbulkan lah hajat mereka".




Wednesday, September 12, 2012

4 soalan: 74

Kuliah semalam berkenaan Percaya dengan Hari Kiamat.

Bahawa apabila semua manusia dibangkitkan, dengan kaki terpasak ke dalam bumi (tidak bergerak), 4 soalan akan Allah SWT tanya kepada semua semasa di Mahsyar.  Tidak akan dapat bergerak ke mana-mana selagi soalan-soalan ini tidak dapat dijawab.  Secara jujurnya, saya menggeletar mendengar huraian ustaz dan saya juga tidak mempunyai jawapan terbaik untuk setiap soalan Allah SWT ini agar syurga menjadi ganjarannya. 

1) Di manakah/ bagaimanakah kamu menghabiskan usiamu?

Setelah Allah SWT memberi kurniaNya seperti umur yang panjang, kesihatan yang baik dll kenikmatan, maka bagaimanakah pengisian dan bekalan buat hari kemudian iaitu di akhirat?  Mulut akan terkunci kerana Allah SWT mengetahui bahawa mulut akan tetap berbohong walaupun di padang Mahsyar.  Oleh itu, segala perbuatan dan tingkahlaku kita disaksikan oleh semua anggota kecuali mulut, maka semua anggota itulah yang akan menjawab segala pertanyaan Allah SWT.

Motivasikan diri dengan pesanan di bawah,

"Usah besarkan tidur.  Sibukkan dirimu dengan amal ibadat/ mencari ilmu Allah/ berbuat kebajikan agar nanti kematian kamu adalah kerehatan yang sebenar-benarnya dari kesibukan dunia (tidak diseksa di dalam kubur) dan di padang mahsyar nanti kita tidak disibuk-sibukkan lagi untuk mencari pahala".
-----credit to Ustaz Hasrizal and Prof Kamil.

2) Di manakah/ bagaimanakah usia REMAJA kita dihabiskan?

3) Di manakah/ bagaimanakah harta kamu perolehi dan belanjakan?

4) Adakah kamu amalkan apa yang kamu tahu?

Diriwayatkan bahawa Abu Huraira' pengsan tatkala mendengar soalan ke -4 kerana kita banyak sekali tahu tapi sedikit sekali mengamalkannya.

Semoga bermanfaat dan menjadi usaha yang berpahala sehingga kiamat.

Pengajian hadith; Ustaz Husnul Nizam

Friday, September 7, 2012

Harta Emak Ayah: 73

Kerana harta, keluarga berpecah belah sebab bergaduh sepanjang hayat.

Pada saya, mereka yang berebut harta yang bukan hak mereka ini adalah orang yang TIDAK INGAT MATI.

Mereka juga tidak yakin dengan adanya hari akhirat di mana semua kesalahan yang dilakukan akan dipertanggungjawabkan.  Di sana nanti, kebaikan kita tidak dipersoalkan lagi, kerana jika ia banyak melebihi yang buruk, dengan rahmat ALLAH syurga adalah ganjarannya.  Apa yang dipersoal adalah salah silap dan dosa.  Ia bagi memberi pengadilan/ hukuman bagi sesiapa yang dizalimi semasa di dunia. 

Begitu juga dengan harta.  Sesiapa yang mengambil harta yang bukan haknya, itu yang akan Allah kira agar mereka yang teraniaya akan terbela.  Bukanlah untuk mendapat kembali harta yang dirampas semasa di dunia, tetapi mungkin mendapat balasan syurga kerana bersabar.  Mereka yang bersalah mendapat hukuman setimpal dan maha adil daripada Allah.

Kisah harta ini banyak sekali diceritakan.  Antara lain adalah kisah popular iaitu satu jenazah yang dibawa melintasi Rasulullah menjerit-jerit yang mana pada ketika itu Rasulullah diberi izin oleh Allah untuk mendengarnya.

Lalu Rasulullah bersabda,

"Sesungguhnya jenazah tadi menjerit-jerit meminta Allah kembalikan semula dia ke dunia.  Adakah kamu ingin tahu apa yang dia ingin lakukan jika Allah hidupkan dia kembali?"

Jawab sahabat, "Ya Rasulullah, khabarkan kepada kami."

"Jenazah tadi ingin kembali untuk mensedekahkan harta-hartanya kepada mereka yang memerlukan.  Sesungguhnya harta yang banyak itu jika tidak disedekahkan adalah tidak berguna dan tidak dapat membantu kamu sedikit pun apabila kamu mati."

Benar sekali, hanya sedekah jariah akan memberikan pahala berterusan walaupun penderma itu telah meninggal dunia.

Kes 1

Emak saya bakal mendapat durian runtuh.  Beliau mula menyebut-nyebut untuk mendapatkan saya seorang 'maid' bagi meringankan kerja-kerja saya di rumah.  Kos untuk mendapatkannya adalah lebih kurang RM 7K.

Saya katakan pada emak,

" Itu duit pusaka atuk untuk mak.  Duit mak untuk belanja diri mak.  You can do whatever you want to do with the money, but please it is all for you, ok".

Pada saya, itu harta mak jadi suka hati mak lah nak belanja ke mana pun.  Saya jadi geram bila ada anak-anak yang sibuk-sibuk atau terlebih pandai mengatur duit pencen/ harta pusaka atuk dan nenek yang jatuh ke tangan emak dan ayahnya.

Kes 2

Arwah bapa mertua saya agak berada kerana mempunyai tanah yang banyak seperti tanah sawah, tanah getah, kebun buah-buahan dan macam-macam tanah lagi.

Ia menjadi rebutan adik beradiknya sedangkan abah mempunyai anak-anak.  Adik beradik abah langsung tidak berhak kerana abah mempunyai 5 orang lelaki dan 2 orang anak perempuan.  Namun, ada suara-suara yang tidak sedap didengari di kalangan adik beradik abah.

" Tu apalah salah dia dah buat, sampai mati pun merata, tak mati di kampung."

Masya Allah.  Abah meninggal di rumah anak sulungnya. 

Ingin saja saya katakan kepada makcik itu,

"Makcik tau ke mati di mana dan bila masanya?.  Kalau orang mati di Mekah dan Madinah, tidak mati di kampungnya Malaysia, bagaimana?".

Itu semua gara-gara harta yang tidak dapat dimiliki.  Astaghfirullahal azeem.

Tuesday, September 4, 2012

Qada’ puasa: 72

Topik hangat di kalangan wanita semasa  Syawal ni adalah qada’ puasa.  Persoalan sepanjang tahun adalah boleh atau tidak ganti puasa bersekali dengan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal?
Adapun terdapat khilaf ulama’ dalam hal ini dan yang tersohornya adalah 3.
Pertama: Ganti puasa (qada’) dahulu, kemudian puasa sunat 6 hari.  Ia berdasarkan dalil daripada hadith Rasulullah “ Barangsiapa yang berpuasa penuh semasa di bulan Ramadhan, dan kemudian berpuasa 6 hari semasa Syawal, akan mendapat pahala sepertimana dia berpuasa selama setahun”. 
Berpuasa penuh itu bermakna qada’ kan dahulu.
Kedua: Puasa sunat 6 hari di dalam Syawal dahulu kemudian qada’ puasa.  Ia berdasarkan hadith yang menyatakan bahawa Siti Aisyah isteri Rasulullah hanya sempat menggantikan puasa semasa  Syaaban tahun berikutnya, iaitu hampir-hampir kepada masuknya Ramadhon pada  tahun itu .
Sebagaimana yang kita ketahui, Rasulullah adalah ketua Negara dan isterinya Aisyah bolehlah diangkat sebagai First Lady.  Kesibukan beliau menyebabkan qada’ puasa tertangguh sehingga ke Syaaban tahun berikutnya. 

Oleh itu, dibolehkan berpuasa sunat dahulu demi mengejar pahala puasa sunat 6 dan meng qada' puasa di kemudian waktu. 

Namun, ustaz juga menambah bahawa kita tidaklah sesibuk itu sehingga tidak dapat untuk puasa sunat dan ganti di dalam bulan Syawal. 

Ketiga: Puasa qada’ pada bulan Syawal ini, mudah-mudahan ia mendapat pahala bersekali dengan puasa sunat yang 6 hari itu.  Namun, niat tetap dengan niat qada' puasa.
Kuliah Ustaz Farid: 030912
Saya mengambil khilaf yang ketiga dan telah mengamalkannya sejak saya mula mengqada’ puasa.  Ini kerana khilaf pertama itu sukar untuk dipenuhi.  Jika mengqada’ dahulu, alamatnya sehingga bilalah saya akan dapat berpuasa 6?
Saya juga tidak mengambil khilaf kedua kerana saya berpegang akan panduan bahawa perkara wajib mengatasi perkara sunat.  Dahulukan yang wajib, maka kemudian lakukan yang sunat.  Sebagai contoh, dalam bulan Ramadhon pahala bersedekah amatlah besar.  Persoalannya jika ada berhutang dengan tukang jahit baju raya, macam mana dengan kita ingin bersedekah?  Bolehkah bersedekah?

Ustaz Dr Zaharudin menegaskan bahawa yang wajib mengatasi/ diberati daripada yang sunat.  Bayar hutang baju raya, kemudian bersedekah kerana bayar hutang itu wajib manakala bersedekah adalah sunat.  Kecuali lah tailor telah redha untuk menerima bayaran selepas raya (2 atau 3 kali bayar kerana terlampau mahal upah baju tersebut).
Semoga bermanfaat.