Tuesday, October 9, 2012

Curang II: 78

Edisi Tambah baik (edited)

Kisahnya semakin menarik.

Terkini beritanya mereka telah berkahwin di sempadan.  Masya Allah.

Berita buruknya ialah mereka berkahwin dua tahun yang lepas. 

Berita baiknya dia belum lagi sakit buatan orang. "Pregnant"

Saya menggelengkan kepala sahaja lah.  Speechless.

Bersembang dengan seorang rakan lain, saya mengambil sikap 'redha'.  Sahabat saya ini mengungkap dengan jelas bahawa perkara curang ini adalah UJIAN dia yang Allah berikan kepadanya.  Dia mampu, maka Allah mengujinya begitu.  Ujian hidupnya sebagai kekasih gelap selama 2 tahun dan mengalah dalam banyak perkara kerana perkahwinan yang belum 'declare'.

Ia kedengaran betul dan benar.  Siapalah kita untuk mempertikaikan kejadian Allah yang merupakan ujian kepada si empunya badan?  Katanya sahabat itu lagi, kita ada anak perempuan, so don't talk about other people, dibimbangi anak dara kita pula terjebak dengan suami orang.  Nauzubillah!

Orang mengata lagi, mesti isteri pertama telah tahu.  Apabila semua orang telah tahu, pasti isteri pertama akan dihentam.  Saya tanya kenapa dihentam pula?

Jawapannya adalah berbaur batu api.  Penat-penat menjaga anak orang untuk menampung kewangan keluarga, tetapi suami buat perangai dan kahwin lagi satu.  Ia juga kedengaran benar namun saya katakan kepada orang yang mengata,

"Kalau isterinya dah tau, dan takde pula adegan serang-menyerang, tandanya isteri itu redha dan mengharap payung emas di syurga nanti".

Saya lega menyatakan demikian.

Tetapi, mereka yang lebih sudu dari kuah ini berkata macam-macam.

"Kasihan isterinya, mesti sakit hati".
"Walaupun redha, hatinya mesti sakit".
"Isterinya punya cantik, kulit putih.  Tak macam isteri kedua ini".
"Redha tu ye lah, tapi hatinya tu macam mana.  Memang lah dapat payung emas.  Mesti sakit hati sangat".
"Langsung tak respek pada dia dah". (penuh emosi menyampah).

Ingin saja saya katakan kepada mereka,

"Kamu berdua masih anak dara, maka berhati-hatilah menghukum orang.  Nanti jangan Allah timpakan ujian ini ke atas kamu.  Kamu pula ada anak dara, maka berpada-padalah bencinya, nanti esok Allah pulangkan batu buah keras atas keceluparan dan kebencian kamu yang melebih-lebih itu.  Isteri pertama itu telah redha dan sudah tahu ganjaran payung emas yang akan dia dapat di syurga nanti.  Kamu semua yang mengata bagai nak rak ini tahu kah apa ganjaran yang kamu akan dapat di akhirat nanti, neraka atau syurga?"

Saya memohon keampunan mu ya Allah atas justifikasi saya pada insiden ini.

Pada dia, semoga hatinya terus kuat menahan tohmahan orang dan cepat-cepatlah mendaftar perkahwinan di sini, bimbang nanti apabila anak telah keluar, tiada surat beranak dapat dikeluarkan kerana tiada sijil nikah dapat membuktikan.  Jangan nanti anak itu menjadi ANAK TIDAK SAH TARAF!

Seperti tulisan saya sebelum ini, apa-apa pun tindakan yang hendak diambil, mintalah petunjuk Allah.  Allah Maha Bijak.  Jika masalah belum berkahwin adalah besar, tetapkan di dalam hati bahawa kamu ada Allah yang MAHA BESAR.

Friday, October 5, 2012

Curang: 77


Ianya topik yang tidak pernah hilang dari berita kehidupan.  Ianya tidak jemu-jemu hadir untuk dikisahkan.  Saya juga ada satu kisah curang yang saya fikir perlu diteladani.

Pada saya, atas alasan apa sekalipun seseorang itu bermain cinta dengan suami/ isteri orang, ia adalah TIDAK BAIK dan perlu DIHENTIKAN.

Dia tua setahun daripada saya namun masih belum berumahtangga.  Rata-rata sahabat yang lain telah mempunyai 2-3 orang anak sedangkan dia masih belum ada tanda-tanda untuk berkahwin.

Barangkali merasa sedih dan malu dengan status  ‘anak dara tua’, dia mengambil keputusan untuk bercinta dengan sesiapa sahaja walaupun dengan suami orang.

Barangkali merasa kesunyian, dia mengambil keputusan untuk bercinta dengan sesiapa sahaja walaupun dengan suami orang.

Barangkali merasa rimas dengan soalan orang/ saudara mara/ keluarga bila hendak berkahwin, dia mengambil keputusan untuk bercinta dengan sesiapa sahaja walaupun dengan suami orang.

Barangkali merasa bosan duduk bersendirian dengan wang ringgit yang melimpah, dia mengambil keputusan untuk bercinta dengan sesiapa sahaja walaupun dengan suami orang.

Barangkali merasa perlunya seorang lelaki di dalam hidupnya, dia mengambil keputusan untuk bercinta dengan sesiapa sahaja walaupun dengan suami orang.
Barangkali sahabat saya berniat untuk mempunyai teman hidup, sekadar itu sahaja, tidak perlu nafkah zahir kerana dia telah sangat mampu. Namun, saya sangat sangsi.
 
Semuanya BARANGKALI.  Hanya dia sahajalah yang tahu apa justifikasi dirinya menyebabkan suami orang itu curang terhadap isterinya.
Atas apa sekalipun alasannya, saya tidak bersetuju dengan jalan yang dia pilih.

Sekarang ini dia membelanjakan sebahagian besar gajinya untuk suami orang itu, berkebetulan pula lelaki itu gajinya jauh lebih rendah daripada gaji sahabat saya itu dan anak pula ramai.

Sekarang ini suami orang itu belum menjadi miliknya yang sah dan logiknya pada semua pasangan bercinta, SEGALANYA BOLEH dan MAHU DIKONGSI.  Tunggu sahaja selepas berkahwin, silap haribulan gaji U, gaji I, gaji I, gaji I. 

Tambahan pula dia telah melabur sekian banyak kepada suami orang itu, saya merasa lebih sangsi jika dia boleh berdiam diri sahaja selepas berkahwin tanpa mendapat layanan sewajarnya seperti layanan yang dia dapat sekarang sebagai seorang kekasih gelap.

Pada masa itu, akan ada ungkit-mengungkit bahawa setelah sekian banyak telah ditaburkan kesenangan dan kemudahan, selepas berkahwin ini takkan tidak boleh meluangkan masa dengannya.  Sudahlah semasa menjadi kekasih gelap, semuanya menjadi biarlah rahsia.  Kemuncak kepada perkahwinan curang inilah yang nanti jika suami orang ini inginkan anak dara, maka ditinggalkan isteri yang telah sekian lama berkorban sama susah sama senang.
Saya bukanlah orang yang sesuai untuk memberi nasihat kepada sesiapa yang berada di dalam situasi ini kerana saya bukan anak dara tua.  Ia akan menjadi tempelak mereka yang terjebak kerana mereka akan mengatakan yang saya bertuah dan tidak merasai apa yang mereka rasa.

Pada saya, berfikirlah dalam-dalam.  Mintalah petunjuk daripada Allah apakah yang terbaik dalam hidup kamu.  Jika kamu kata suami orang itu kamu sukai kerana agamanya, bercinta senyap-senyap di belakang isteri dan anak-anaknya itu adalah kecurangan dan berdosa.  Di mana suami orang itu meletakkan agamanya ketika dia menyambut cinta kamu yang mungkin TERDESAK itu.
Cinta itu TANGGUNGJAWAB.  Mana mungkin kamu kata kamu cinta, tetapi kamu tidak mampu bertanggungjawab!

Astaghfirullahal Azeem............